Selasa, 19 Jun 2012

Susah dahulu, senang kemudian


Bismillahirrahmanirrahim….
Assalamualaikum…..

Salam ceria untuk anda semua....hari ini, suka Ummi nak berkongsi satu rangkap peribahasa Melayu untuk kita kongsi bersama ;


“Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian;
Bersakit-sakit dahulu, bersenang-lenang kemudian.”


Susah Belajar hanya setahun dua saja, kemudian akan jadi senang seumur hidup.

Janganlah terpengaruh oleh keseronokkan yang sebentar cuma.
Membuang masa, banyak bermain dan banyak berehat hanya akan memberikan rasa keseronokkan yang sebentar saja. Apalah sangat,  seronok hari ini jika selepas itu anda akan gagal selama-lamanya. 


Pelajar ertinya orang yang mana kerjanya ialah belajar atau menuntut ilmu. Dalam erti kata lain, anda meletakkan kepentingan menuntut  ilmu, di atas sekali dalam hidup anda selagi anda bergelar seorang pelajar.  Bila anda jelas tentang hal itu, maka mudahlah untuk anda Berjaya kerana semua yang anda lakukan adalah bertujuan untuk kecemerlangan dalam pelajaran.

Kejayaan cemerlang itu bermula dari wawasan yang jelas dan cemerlang. Ia timbul dari niat yang ikhlas yang nakkan kejayaan dan disusuli pula dengan usaha yang gigih serta semangat yang cekal dan berusaha tanpa mengenal erti bosan.

Senang adalah pilihan, susah juga adalah pilihan. Tapi untuk senang bukanlah sesuatu yang mudah. Hidup senang menuntut pengorbanan, usaha, masa dan tenaga. Usaha yang konsisten, bukannya usaha sehari, seminggu, sebulan ataupun setahun. Usaha secara konsisten selama bertahun-tahun, maka kejayaan pasti akan menjadi milik kita.  Itulah janji Allah Taala kepada kita. 

Sesiapa yang menilai tinggi kejayaan dari segi pelajaran akan fokus kepada belajar. (mari sekolah niat untuk belajar). Lebih tinggi kemahuan anda, maka lebih tinggilah nilai kejayaan yang akan anda capai.

 
Jadi, pesanan Ummi;
-         "Bila anda mahu Berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran, maknanya anda menerima hakikat bahawa belajar itu kerja, atau tanggungjawab yang perlu anda jayakan dengan sempurna. Maka sebahagian besar dari masa anda perlu tumpukan untuk belajar dan mengulangkaji."

-         Bermain itu baik. Bersukan beriadhah itu akan menyegarkan tubuh badan dan minda. Tapi lakukan ia agar ia membantu anda untuk Berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran.

-         Aktif kokurikulum atau melakukan berbagai kegiatan itu juga baik. Kerana ia akan  membentuk satu personality yang serba bertanggungjawab dan berkebolehan. ia juga aset tambahan yang ada pada anda yang boleh membantu anda ke IPT. Namun aset yang utama perlu ada ialah kecemerlangan dalam belajar.

-         Berkawan itu baik kerana ia memberikan anda pengalaman yang amat berguna tentang kehidupan. Namun begitu anda perlu berkawan dengan tujuan memudahkan lagi anda mencapai matlamat kecemerlangan yang anda tetapkan. Cari lah kawan yang baik-baik kawan-kawan yang juga ingin menjadi cemerlang. 

Seorang guru kepada Imam Asy-Syafi'e yang bernama 'Wafiq' pernah berpesan yang bermaksud: 'Sesungguhnya ilmu itu adalah cahaya dan cahaya ilmu itu tidak akan memberi petunjuk kepada orang yang melakukan dosa'. 

Sesungguhnya Ilmu adalah asas keyakinan, keyakinan adalah asas kejayaan, dan kejayaan adalah jambatan untuk capai kesenangan di masa hadapan.


Marilah kita sama-sama berdoa semoga kita semua akan mendapat keberkatan dalam mencari ilmu pengetahuan dan beramal dengannya, mudah-mudahan dengan demikian kita akan hidup  senang-lenang pada masa depan, bahagia dan berjaya di dunia dan di akhirat. Insyaallah … Ummi akhiri pesanan ummi hari ini dengan membacakan Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam  yang bermaksud;

"Katakanlah lagi kepadanya : Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan, hanyalah orang-orang yang berakal sempurna"                                                                                        (Surah Al-Zumar : ayat 9)

Wallahu a’lam bissowab….
Wassalm……

Tiada ulasan:

Catat Ulasan