Assalamualaikum dan Salam B’ Wangsa
buat anak-anak pelajar...
Kita masih lagi berada dalam Perintah
Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan masih lagi tidak boleh belajar secara
bersemuka. Banyak rungutan demi rungutan yang ummi dengar daripada anak-anak
pelajar.... “susahlah belajar online...” “tak faham....” “macam mana nak masuk
U kalau belajar macam ni?...” “cikgu bagi latihan banyak sangat manalah sempat
saya nak buat semua ni...” “saya susah, ayah saya kena berhenti kerja sejak PKP
ni...”😢 dan macam-macam
keluhan lagi.
Dulu tatkala ada peluang belajar bersemuka di sekolah pun tidak kurang juga rungutan yang anak-anak pelajar keluhkan. Cuba anak-anak perhatikan, dalam sehari berapa kali agaknya kita mengeluh? Silap sikit kita mengeluh. Rasa tak selesa, rimas, hadapi masalah dan macam-macam lagi kita mengeluh. Kalau banyak kerja kita mengeluh penat dan kalau tiada kerja pula kita mengeluh bosan.
Sikap banyak mengeluh ini sangatlah membimbangkan kerana ia boleh melarat menjadi depression pula. Jadi, apa agaknya yang menghentikan kita daripada mengeluh? Ubat untuk penyakit mengeluh ini adalah redha. Redha bukan bermaksud berserah tanpa berusaha. Redha adalah akur dan rendah diri kepada ketentuan Tuhan. Juga mengakui akan fitrah kehidupan yang penuh berliku. Ada pahit dan ada yang manis. Itu semua adalah asam garam kehidupan.
Setiap orang pasti merasai kepahitan dan kesusahan hidup. Tetapi jika semakin kita mengeluh kepahitan itu, semakin bertambahlah keperitan yang dirasai.
Kalau ada masalah, kesusahan atau cabaran, jangan ikut kata hati memberontak dan menggelisahkan diri. Sebaiknya, ikut tingkah laku orang-orang yang beriman iaitu bertenang dan mengingati Tuhan.
Sabda Junjungan Besar kita Nabi Muhammad SAW;
Maksudnya; Apabila engkau menghendaki suatu perkara, maka engkau harus bersikap tenang sehingga Allah memperlihatkan kepadamu jalan keluarnya.
- (Riwayat Bukhari)
Mengeluh berlebihan itu sesungguhnya tidaklah memberikan jalan
penyelesaian bahkan merisaukan lagi jiwa. Jiwa yang tidak tenang pastinya akan
membuatkan fikiran jadi berserabut dan kita tidak mampu untuk berfikir secara
rasional mencari jalan penyelesaian yang sebaiknya.
Ingat, berfikirlah penuh tenang dan bertindaklah penuh matang kerana kita dilahirkan sememangnya untuk berjaya dan bahagia.
Semoga anak-anak pelajar sihat, ceria dan tenang semuanya.
Ya sungguh lah ni jgn keluar dari rumah ini masa covid kes dah banyak ni(KITA JAGA KITA😷😷😷)
BalasPadam