Assalamualaikum dan Salam Ceria untuk semua….
Apa khabar anda pagi ini? Semoga pagi ini anda lebih
bersemangat daripada semalam. Bagi yang rasa tidak bersemangat, yang ada rasa putus
asa, anda perlu bangkit. Jangan biarkan rasa itu menghantui dan membelengu akal
fikiran anda. Anda ada pilihan! Pilihan anda untuk jadi lebih baik dari
semalam.
Boleh amal tips ini bagi mereka yang mahu memancarkan semula
senyuman di wajah dan hidup lebih ceria:
1. Berhenti beri tekanan pada diri sendiri
Kita meletakkan banyak tekanan pada diri sendiri. Walaupun
bagus untuk bercita-cita tinggi, kadang-kadang ada masanya, anda perlu duduk, muhasabah
diri, cermin semula diri dan kenal pasti semua perkara baik yang anda lakukan
sekarang.
Oleh itu, apabila berasa kecewa, cubalah:
- Fikirkan perkara-perkara dalam kehidupan yang membuatkan kita bersyukur. Fokus pada apa yang kita ada, bukan apa yang kita tidak lakukan atau tiada.
- Berhenti memberi begitu banyak tekanan pada diri anda. Bersemangat dengan siapa diri kita sekarang pada masa ini. Dan ingat, kebahagiaan adalah pilihan.
2. Bangun dan bergerak
Salah satu cara terbaik untuk bagi berhadapan hari yang
sukar adalah dengan bangun daripada duduk terperuk di satu-satu tempat.
Lakukanlah pergerakan. Senaman adalah cara yang terbaik boleh mengubah mood
anda.
Anda boleh keluar dan berjalan kaki, menunggang basikal di sekitar kawasan perumahan anda. Pergi ke gim atau ke studio zumba. Jangan hanya duduk terperuk berkubang di atas katil kerana sesungguhnya anda telah menyeksa fizikal dan batin anda sendiri. Bangun dan bergeraklah supaya anda dapat ‘angin’ baharu.
3. Dekatkan diri anda dengan orang yang anda suka
Keluarga dan kawan-kawan boleh menjadi ubat terbaik apabila
anda ‘down’. Walaupun tidak dapat melihat mereka secara langsung, angkat
telefon dan hubungilah orang yang anda sayangi. Kadang-kadang apa yang kita
perlukan adalah kawan untuk mendengar dan membantu mengeluarkan perkara
menyempitkan dada kita. Ingat, belon akan jadi kembang dan terus mengembang
jika terlalu banyak angin yang diisi. Anda perlu lepaskan angina tersebut
keluar, agar ‘belon’ itu tidak meletup.
4. Cuba bergelak tawa
Kita kadang-kadang terlalu serius. Tapi mari letakkan
perspektif ini: bagaimana perasaan sewaktu saat kecil dahulu. Selalunya banyak
perkara gembira dialami dalam hidup ketika itu. Bukankah hidup ibarat roda.
Takkanlah sepanjang masa kita bersedih. Justeru ingatilah saat gembira itu bagi
menghilangkan lelah buat seketika.
Ketahuilah bahawa kesedihan adalah sementara, manakala ia adalah pilihan sendiri. Barangkali pilih untuk ketawa dengan dengan menonton video lucu, filem, atau video kegemaran anda secara dalam talian.
5. Makan sesuatu yang sihat
Mengambil makanan ringan yang sihat dapat membantu anda
berasa lebih baik dan mengisi badan anda dengan nutrien yang betul. Makanlah
makanan sihat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, kacang, dan biji.
6. Sedut nafas dalam-dalam
Memfokuskan pada pernafasan mungkin dapat membantu anda
daripada berfikir yang tidak-tidak.
Menurut artikel bertajuk Teknik Pernafasan, MyHealth, pernafasan
kita akan menjadi cepat tanpa kawalan ketika kita stress. Dengan mengamalkan
teknik pernafasan yang betul, kita boleh menjadi lebih tenang ketika berhadapan
dengan situasi yang tegang. Ia dapat meningkatkan pertukaran antara oksigen dan
karbon dioksida, meningkatkan peredaran darah dan mengurangkan ketegangan.
Latihan teknik pernafasan dapat dilakukan dengan memilih
satu keadaan yang tiada gangguan dan selesa.
- Tarik nafas perlahan-lahan (4 saat)
- Tahan nafas (4 saat)
- Lepaskan nafas perlahan-lahan (4 saat)
- Terapkan perasaan lega setiap hembusan nafas keluar.
- Ulangi langkah-langkah tersebut sehingga anda merasa tenang dan relaks.
- InsyaAllah anda pasti akan rasa lega .
7. Luangkan masa dengan haiwan
Menurut artikel Wan Zahari, Mohd Hamim dan Abdul Rahman dari
Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), dan Fakulti
Perubatan, Universiti Institut Teknologi MARA (UITM), Shah Alam, terdapat
hubungan antara manusia dan haiwan. Ia dinyatakan dalam tulisan mereka yang
bertajuk Hubungan Manusia Dengan Haiwan Dalam Warisan Perubatan dan Kepentingan
Haiwan Dalam Aspek Pemakanan dan Kesihatan Manusia. Dapatan artikel mereka
menyebut, haiwan peliharaan terapeutik dan mereka pintar. Mereka dapat
merasakan apabila seseorang sedih. Walaupun anda tidak mempunyai seekor kucing,
ikan atau haiwan peliharaan lain, anda mungkin boleh cuba beri makanan kepada
kucing jalanan yang anda jumpa. Jadi, apa kata anda cuba luangkan masa anda bersama
haiwan. Mana tahu mengurangkan tekanan anda.
8. Lakukan sesuatu yang anda suka dan menarik (hobi)
Salah satu cara terbaik untuk membebaskan fikiran tentang
perkara negatif adalah melakukan perkara yang anda suka. Buat beberapa perkara
gembira dalam hidup anda. Jika gemar melukis atau berkebun, mengemas, mencuba
origami dan sesuatu yang anda rasa mahu buat, tetapi tidak pernah mencuba, apa
kata kali ini cuba lakukannya. Mana tahu dapat menghilangkan rasa ‘down’ anda
itu.
9. Baca sesuatu yang inspiratif
Sebenarnya walaupun dengan sepatah ayat yang anda bacapun kadang-kadang
ia boleh mencetuskan kuasa untuk
menyembuhkan dan mengurangkan rasa ‘down’ itu. Cubalah membuat carian di
internet dan cari petikan inspirasi yang boleh memotivasikan anda. Tonton
ucapan dari tokoh terkenal dan inspirasi yang anda kagumi. Atau baca buku-buku motivasi
atau inspiratif.
10. Selesaikan semua perkara yang patut
Antara cara mudah untuk mengubah fikiran negatif apabila
anda mengalami hari yang buruk adalah dengan melakukan kerja. Sama ada kerja rumah,
atau kerja pada projek yang anda sukai, dapatkan kerja yang dilakukan akan
membantu anda merasa produktif dan membebaskan minda anda.
Sebagai orang Islam pula, ‘kerja’ yang patut anda lakukan
adalah menunaikan kewajipan dengan mengingati-NYA. Adakah anda sudah melakukan
suruhannya ketika ini? Belum solat? Maka tunaikanlah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan