Ahad, 20 Mei 2012

IBUBAPA PEMANGKIN KECEMERLANGAN ANAK


Dalam kehidupan hari ini, masa ibu bapa bersama anak-anak semakin berkurangan. Keadaan ini tidak dapat dielakkan disebabkan oleh perubahan zaman yang menyaksikan perkara seperti:
* Beban kerja yang semakin bertambah.
* Ibu bapa yang dua-duanya bekerja.
* Anak-anak yang semakin sibuk dengan kelas tambahan dan aktiviti sekolah.
Semua keadaan di atas membuatkan masa kita dengan anak-anak semakin terhad.  Bagi anak-anak, mereka menilai kasih sayang melalui masa yang diberikan oleh ibu bapa untuk bersama mereka.  Tidak ada suatu apa pun yang boleh menggantikan masa.  Semakin banyak masa yang kita berikan kepada mereka semakin terasa oleh mereka akan kasih sayang kita. Tetapi apabila kuantiti masa untuk bersama anak-anak terhad disebabkan oleh keadaan, maka adalah penting masa yang terluang itu dimanfaatkan secara berkualiti. 
Berikut adalah beberapa petua yang boleh dikongsikan bersama:


SOLAT BERJEMAAH
Tidak ada masa yang paling pendek tetapi paling berkualiti selain dari solat berjemaah bersama keluarga. Dengan solat berjemaah, bapa sebagai imam akan lebih dihormati sebagai ketua keluarga. Kalau tidak mampu setiap hari, pastikan sekurang-kurangnya beberapa kali dalam seminggu.  Selepas solat, doalah dengan doa yang boleh difahami oleh ahli keluarga dan mereka pula mengaminkannya.  Solat berjemaah bersama keluarga meningkatkan kemesraan dan keakraban antara ibu bapa dan anak-anak.

MAKAN MALAM BERSAMA
Persefahaman dan keharmonian dapat dibentuk dengan sering makan bersama.  Disebabkan waktu siang pada kebiasaannya semua sibuk, kenapa tidak jadikan makan malam sebagai waktu untuk bersama.  Sepanjang waktu makan bolehlah tanya-tanyakan bagaimana hari masing-masing.  Tujuannya hanya untuk tingkatkan kemesraan.  

TEMANI ANAK-ANAK
Anak-anak mungkin tidak meminta tetapi apa salahnya menemani mereka dalam keadaan yang kita tahu mereka memerlukan kita.  Misalnya, hantarlah mereka ke sekolah pada hari peperiksaan dan temani mereka ketika ambil keputusan peperiksaan. Paling bermakna jika kita dapat menemani mereka ketika mereka belajar. Sebagai ibu bapa kita perlu ingat, yang penting ialah perasaan anak-anak bukan perasaan kita.  Oleh itu temanilah mereka dalam apa jua keadaan.

ADAKAN MASA UNTUK SETIAP ANAK
Masa yang berkualiti bukan sahaja perlu diberikan untuk seisi keluarga tetapi ibu bapa hendaklah adakan masa untuk bersama dengan setiap anak secara individu.  Sebab tidak semua perkara yang mahu dibincangkan oleh anak itu merupakan perkara umum.  Ada ketika mereka mahu bincangkannya secara peribadi.  Oleh itu rancang juga masa untuk kita bersama dengan setiap anak secara peribadi.  Sebagai contoh, ada masa kita bawa hanya seorang anak sahaja bersama kita seperti mengajaknya makan di luar.  Lain hari giliran anak yang lain pula.  Ada masa bapa yang bawa anak tanpa kehadiran ibu dan begitu juga sebaliknya.  Anak
dapat rasakan inilah masa yang paling berkualiti dan sentiasa menunggu peluang untuk bersama lagi.  Adalah satu kesilapan apabila ibu bapa sangkakan semua aktiviti mesti dilakukan bersama sebab ada ketikanya anak-anak mahu dilayan secara istimewa.

MENJADI PENDENGAR YANG BAIK
Menjadi pendengar yang baik adalah perkara yang paling mudah untuk dibuat tetapi sukar untuk dipraktikkan.   Kita lebih banyak bercakap dari mendengar.  Kebanyakan dari apa yang dicakapkan pula lebih kepada arahan, suruhan, teguran, sindiran dan sebagainya.  Untuk memahami perkembangan jiwa anak-anak, kita mesti berikan perhatian terhadap apa yang disampaikan.  Kalau kita sedang melakukan sesuatu seperti memasak, membaca akhbar, menanam pokok, membasuh pinggan dan sebagainya, maka hentikan perlakuan itu untuk seketika.  Tumpukan kepada apa yang anak-anak sampaikan.  Anggukkan kepala, iyakan apa yang disampaikan, lihat anak matanya, dan berikan tindakbalas yang sewajarnya.   Anak-anak tahu sama ada mereka diambilberat atau tidak dipedulikan. Sebabnya, bahasa gerak badan kita tidak menunjukkan keikhlasan dalam memberikan balasan kepada mereka.

BERCERITALAH..
Semua orang sukakan cerita lebih-lebih lagi anak-anak.  Kalau kita perhatikan sebahagian besar kandungan al-Quran mengandungi cerita-cerita yang memberi banyak petunjuk dan pengajaran.  Bercerita adalah cara terbaik untuk mendidik anak-anak.  Anak-anak jadi negatif juga disebabkan cerita-cerita yang mereka baca, dengan dan lihat sama ada di radio, TV, internet dan pelbagai media lainnya.  Kalau kita tidak bercerita dengan anak-anak maka mindanya mungkin akan dipengaruhi oleh cerita-cerita yang negatif.  Macam-macam cerita yang boleh disampaikan kepada anak-anak sama ada kisah nabi, cerita rakyat, isu semasa dan malah kisah silam dan pengalaman hidup kita
sendiri.  Melalui cerita kita dapat membentuk peribadi dan sahsiah diri mereka.  Anak-anak juga rasa seronok setiap kali bersama sebab sentiasa menantikan cerita dari kita.

SUBURKAN KEBAIKAN ANAK
Apabila kita lihat sesuatu yang baik dilakukannya maka
pujilah kerana itu yang anak-anak mahukan.  Kerapkali ibu bapa mudah nampak kekurangan dan kesilapan anak-anak tetapi kurang peka terhadap kelebihan dan kebaikan mereka.  Apabila kita bersama mereka cuba fokus kepada kelebihan anak-anak dan lebih mencari kebaikan mereka.  Puji, dorong, dan bantu mereka menyuburkan potensi yang mereka ada.  Jangan pula masa yang sedikit antara kita dan anak-anak itu digunakan lebih untuk memarahi, menghukum, mengherdik dan sebagainya. 
 
MASALAH ADALAH PELUANG KITA
Kalau ditanya anak-anak bagaimana yang ibu bapa mahukan, semuanya mahu anak-anak yang baik, rajin, soleh, bijak dan sebagainya.  Tidak seorang pun ibu bapa yang mahukan anak-anak yang bermasalah.  Tetapi kita lupa, setiap manusia pasti ada masalah dan tidak ada seorang pun manusia yang sempurna.  Begitulah juga dengan anak-anak kita.  Sebenarnya masalah adalah pintu masuk untuk kita mendekati diri dengan anak-anak.
Apabila anak-anak menghadapi masalah, tertekan, berperasaan negatif dan sebagainya maka itu adalah peluang untuk kita memahami, berbincang dan membantu mereka.  Itu adalah saat seorang anak memerlukan ibu bapa di sisinya.  Jangan pula kita marahi mereka kerana mereka ada masalah.  Misalnya, ada waktu anak akan rasa tertekan dengan persekitarannya.  Beritahulah mereka bahawa adalah normal merasa tertekan dan bantu mereka mengatasi tekanan tersebut dengan cara yang baik.  Begitu juga apabila mereka marah disebabkan sesuatu perkara maka beritahu mereka adalah normal untuk merasa marah tetapi tidak sampai bertindak melulu tanpa akal semata-mata mahu puaskan marah itu.  Hulurkan bantuan kepada anak-anak sama ada dari segi moral, idea, wang dan sebagainya.  Tetapi jangan pula buatkan mereka terlalu bergantung kepada kita apatah lagi memanjakan mereka secara berlebihan.

-Sama-sama kita amalkan



7 ulasan:

  1. Good info.... thank you for sharing : sharing is caring & caring is loving :)

    BalasPadam
  2. ummi... mutiara kata also good to share kan... utk makanan hati. pls... tq :)

    BalasPadam
  3. insyaallah akan muatkan mutiara kata utk santapan rohani.... tq monique

    BalasPadam
  4. i will share mine also.... ade jugak dlu mase kat keledang saje2 kumpul mutiara kata from internet, buat koleksi....

    BalasPadam
  5. Thanks.... Ummi pun sbnrnya dah ada koleksi mutiara kata tu...cuma x sempat lg nak post kat sini....

    BalasPadam