Sabtu, 8 September 2012

JADILAH ANAK YANG BAIK



Anak-anak adalah harta berharga bagi ibubapa. Boleh jadi anak-anak menjadi tiket untuk ke syurga bagi kedua ibu bapa, boleh jadi juga menjadi tiket untuk melangkah ke pintu neraka. MashaAllah. Betapa penting dan berharganya anak-anak kepada mereka bukan? Sebagai anak, bila melihat wajah kedua ibu bapa, apa yang anda rasakan? Cuba pandang mereka dengan hati dan kedudukan sebagai seorang anak, anda akan dapat rasa sesuatu dalam hati tu. InsyaAllah. Dalam hati mereka pasti berkata-kata “ Jadilah anak yang baik ye anak…”
Berikut diperturunkan resepi untuk menjadi anak yang baik…


1.    Jadilah penyejuk mata. Anak yang baik merupakan penawar duka dan penyejuk mata ibu dan ayahnya. Taatlah perintah Allah, patuhilah suruhan Rasul dan ikutilah pesanan ibu dan ayah. Ini adalah petanda anak yang menjadi penyejuk mata.  Firman Allah , “Dan orang-orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan hidup dan keturunan yang menjadi penyejuk mata (penyenang hati), dan jadikanlah kami ketua bagi orang-orang yang bertaqwa."
(Surah Al-Furqan:74)

2.    Penuhi impian ibu dan ayah. Setiap ibu dan ayah pasti mempunyai impian tersendiri terhadap anak-anak mereka. Jadi, anak perlu tahu apakah impian ibu dan ayah terhadap anda. Seterusnya, cubalah sedaya upaya memenuhi impian mereka. Mereka pasti gembira.

3.    Usah bebankan ibu dan bapa anda.  Tiada ibubapa yang sanggup membiarkan anaknya dalam kesusahan. Tetapi, ramai anak-anak yang tergamak membiarkan ibubapa mereka susah. Maka, usah bebankan mereka. Jangan meminta benda yang mereka tidak mampu  berikan. Buatlah sendiri kerja yang mampu anda lakukan.

4.    Jangan tunggu disuruh. Anda semestinya tahu dan faham tugas seharian. Jadi, tunaikanlah tugas itu tanpa disuruh oleh ibu dan ayah. Apatah lagi, apabila dimarahi baru mahu buat.

5.    Mampu berdikari. Anak yang baik tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada ibubapa mereka. Atur dan susun sendiri kehidupan saudara. Berikan kepercayaan kepada ibubapa. Tunjukkan yang anda mampu membuat sendiri tanpa bantuan mereka. Ibubapa anda pasti bangga.

6.    Tidak minta dimanjakan. Anda perlukan kasih sayang ibu dan ayah. Tetapi, anda jangan minta untuk terlalu dimanjakan. Kesannya, anda menjadi individu yang takut menghadapi cabaran. Tunjukkan semangat waja anda.

7.    Jujur dan bertanggungjawab. Jangan sesekali mengkhianati tanggungjawab terhadap ibubapa. Apatah lagi memalukan dan menjatuhkan maruah mereka. Justeru, jujurlah dalam semua tindakan. Ingatlah segala harapan.

8.    Bersikap baik dengan adik-beradik lain. Jangan bersikap berat sebelah. Anda baik dan mesra dengan kawan-kawan tetapi bergaduh dan tidak mempedulikan adik-beradik lain. Tiada ibubapa yang suka keadaan ini wujud dalam kalangan anak-anaknya.

9.    Selalu mendoakan mereka. Anak yang baik adalah anak yang sentiasa mendoakan kesejahteraan dan keselamatan ibu dan ayahnya di dunia dan akhirat. Ini adalah petanda anak yang soleh. Justeru, jangan lupa mendoakan ibu dan ayah anda. Bahkan, doa daripada seorang anak yang soleh amat bermanfaat bagi ibubapa samada yang masih hidup apatah lagi  yang sudah meninggal dunia.

10. Jika kita jadi anak yang baik hari ini, insyaallah kita akan dikurniakan anak-anak yang baik bila kita sudah menjadi ibubapa nanti. Ingat tu!!!




Tiada ulasan:

Catat Ulasan