Isnin, 30 November 2020

8 FAKTOR KENAPA MALAS BELAJAR PdPR???

 


Sesi Pembelajaran tetap diteruskan walaupun kita kini dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi menangani penularan wabak covid-19. Ini adalah kerana, belajar adalah kewajipan seorang pelajar. Hidup tanpa belajar bagaikan hidup tanpa nyawa. Apapun sebenarnya, masalah malas belajar sangat menghantui ramai pelajar tak kira di peringkat manapun. Mengapa pelajar malas belajar? Ada banyak sebab yang membolehkan keadaan ini terjadi. Di sini, ummi senaraikan 8 faktor yang mungkin menyebabkan anda malas belajar:

 

1.  Tiada matlamat yang jelas mengapa mereka mesti belajar dan manfaat ilmu yang dipelajari itu dengan kehidupan masa depan, sama ada di dunia ataupun di akhirat.

 

2. Kurangnya minat dan motivasi dalaman diri. Mereka ini tidak nampak adakah perlunya mereka belajar dan mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

 

3. Mudah berasa cukup selesa dengan apa yang ada. Biasanya masalah ini berlaku kepada mereka yang datang dari keluarga yang senang dan berada.

 

4. Tidak cukup rehat dan tidur (penat main game pun salah satu punca penat). Otak kita memerlukan istirehat yang cukup bagi membolehkan otak berfikir dengan baik dan segar. Apabila otak yang tidak mendapat tidur dan rehat yang cukup, akan cepat penat dan hilang kemampuan untuk menumpu. Maka itulah malas terjadi.

 

5. Keasyikan kepada permainan video (game) dan dunia media sosial seperti facebook, tiktok, instagram, twitter, whatsapp dan sebagainya juga adalah penyumbang utama kepada masalah ini.

 

6.  Kurang bersenam atau melakukan aktiviti yang menyegarkan badan. Ini menjadikan badan kita tidak dapat mengeluarkan hormon-hormon tertentu yang boleh menyegarkan dan memberi tenaga untuk belajar dengan berkesan.

 

7. Terlalu banyak minum minuman berkafein seperti teh tarik, kopi, coca-cola, pepsi-cola dan sebagainya. Ini menjadikan saraf-saraf tubuh dan otak terlalu bergantung kepada kafein ini untuk bekerja. Apatah lagi jika diminum sebelum tidur. Otak akan terus bekerja meskipun kita sedang tidur disebabkan kafein ini. Oleh itu, pada siang hari kita menjadi letih dan malas.

 

8. Faktor persekitaran yang tidak memberangsangkan. Jika anda bergaul dengan rakan-rakan sebaya yang lemah dan kurang semangat belajar, ataupun orang lain yang selalu cuba merendah-rendahkan semangat dan kemampuan anda. Ini juga menjadikan anda malas untuk belajar.

 

Rasulullah SAW ada berpesan "Allah benci kepada pemuda-pemuda yang menganggur (malas).”

 

Malas adalah keadaan diri yang tidak ghairah dalam menjalankan sesuatu perkerjaan. Rasa malas adalah penyakit paling mengerikan yang dapat menghambat kejayaan seseorang.

Sabda Rasulullah SAW: "Sejahat-jahat musuh kamu ialah nafsu kamu sendiri yang berada antara dua rusuk kamu." (Riwayat al-Baihaqi)

Antara perkara yang boleh dilakukan bagi mengawal hawa nafsu ini adalah dengan sentiasa melakukan perkara-perkara kebaikan dan menguatkan hubungan dengan Allah SWT, seperti yang dinyatakan di dalam al-Qur’an :

 

Firman Allah SWT dalam Surah Al Ankabut:

 

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّـهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

 

Maksudnya : “ Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan), dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah bersama orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya ”.

[al-‘Ankabut : 69]

 

Semoga Allah SWT menjadikan anda dalam kalangan hamba-hambaNya yang soleh dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri dan berusaha untuk kejayaan.

 

Wallahua'lam.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan