Isnin, 16 Februari 2015

Muhasabah Diri Tahun Baru 2015

Alhamdulillah sekali lagi dipanjatkan rasa syukur kerana kita diberi kesempatan lagi melangkah ke tahun baru, tahun 2015. Masih teringat dalam ingatan fikiran yang membekas, apa yang telah kita tempuhi sepanjang tahun 2014… pelbagai cabaran, suka dan duka kita lalui dan yang paling kuat kita rasai ialah bumi kelahiran kita, dilimpahi dengan banjir besar yang berlaku lewat Disember baru ini.

Bencana banjir ini adalah salah satu peringatan dari ALLAH swt kepada kita seluruh rakyat Malaysia. Maka bermuhasabahlah diri kita dan pohonlah keampunan kepada ALLAH Taala. Agar ALLAH jauhi kita dan Negara dari musibah yang tidak mampu kita tanggung ini.


Walau bagaimanapun, kita teramat bersyukur kerana ekoran dari bencana ini kita dapat lihat masih ramai rakyat Malaysia yang sangat perihatin dengan mangsa-mangsa bencana banjir yang melanda Negara ini. Mungkin inilah ujian yang ALLAH swt, yang nak kita lihat bagaimana kita bersatu dalam membantu mereka yang di dalam kesusahan.

Musibah ini merupakan ujian Allah; untuk menguji keimanan, menguji kesabaran, menguji ketaatan, menguji nilai persaudaraan bukan sahaja kepada mangsa tetapi juga kepada seluruh umat sejagat… kembalilah kepada Allah Yang Maha Esa waktu senang danm susah, waktu lapang dan sesak, waktu bahagia dan derita… sejuta hikmah terselit bagi bagi umat yang merenung, berfikir dan bermuhasabah…insyaAllah.

Hikmah yang paling besar di sebalik musibah adalah, dengan dihapuskan dosa dan diganjari pahala sehingga kita beroleh Syurga ALLAH swt. Nabi saw bersabda,

“Sungguh pahala yang besar bersama ujian yang besar. Apabila ALLAH mencintai seseorang, Dia memberi ujian kepadanya, siapa yang redha maka ALLAH redha padanya, dan siapa yang murka maka ALLAH murka padanya.” (Sahih Riwayat Al-Tirmidzi)

Semoga di tahun baru ini perancangan yang baik-baik semuanya untuk kebaikan semua pihak.

Biar apapun cabaran dan rintangan pastinya semua itu dapat diharungi dengan tabah dan kesabaran serta disudahi dengan kebahagiaan.

· Semoga setiap urusan untuk kebaikan dipermudahkan olehNya. Mendapat keberkatan, kerahmatan dan kasih sayang dariNya.

· Teruslah taat dan patuh kepada suruhanNya dan meninggalkan apa yang dilarang olehNya.

· Tingkatkan tahap amalan kebaikan dan jauhkan diri dari maksiat supaya hidup mendapat berkat dan pahala berlipat ganda.

· Setiap tindakan hendaklah diperhalusi dan tidak mengambil keputusan tergesa. Seharusnya difikirkan dengan bijaksana kesan dan akibat daripada tindakan yang diambil.

· Kurangkan kontroversi, jauhkan dari menimbulkan sebarang masalah terutamanya dalam pelanggaran masalah disiplin sekolah.

· Berdampinglah dengan guru-guru dan rakan-rakan yang positif yang boleh membantu meningkatkan nilai tambah kepada diri.

· Belajarlah dan bekerjalah dengan penuh keikhlasan agar setiap ilmu dan rezeki yang diperoleh itu mendapat berkat.

· Elakkan dari mendatangkan kesusahan kepada insan keliling kita. Maksudnya, hentikanlah gejala buli. Kita hendak hidup aman, begitu juga orang lain. Jika dia susah kita juga akan mendapat susah. PASTIKAN kita tidak menimbulkan kemarahan kepada orang lain.

· Banyakkan bersabar dengan setiap yang berlaku. Rancang dan bertindaklah untuk yang lebih baik tahun ini.

Saya akhiri renungan pagi ini dengan kata-kata Saidina Ali Karramallahu wajhah “ Apabila kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus kekal. Dan sekiranya kamu berseronok dengan dosa maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal.”

InsyaAllah semoga tahun ini kita semua akan lebih efektif dan cemerlang. Selamat Tahun Baru 2015.
 Kenangan 25.12.2014