Khamis, 17 Disember 2020

ANDA BOLEH BERJAYA!

 



Assalamualaikum dan Salam Ceria untuk semua...

    Hari ini adalah merupakan hari terakhir sesi persekolahan 2020. Sesi persekolahan yang paling mencabar berbanding tahun-tahun sebelum ini. Kita diuji dengan ujian yang tak terduga. Sesi persekolahan yang biasanya berlangsung secara bersemuka terpaksa ditangguh dua kali. Sememangnya ini menjejaskan segala perancangan yang dirancang dari awal. Namun, kita hanya mampu merancang kerana perancangan Allahlah yang Maha Terbaik. Allah menguji kita sejauh mana kita berikhtiar untuk mencipta jaya.

Allah SWT berfirman dalam Surat Ar-Ra’d, ayat 11,

 إِنَّ اللهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ

 

 “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” 

    Allah telahpun menegaskan kepada kita bahawa jika seseorang menginginkan sesuatu, seperti kejayaan dalam menuntut ilmu,  perubahan nasib, mendapatkan rezeki, , kesihatan, dan sebagainya, maka ia harus melakukan suatu usaha secara aktif dan nyata, dan inilah yang disebut dengan ikhtiar atau usaha.


    Jadi seseorang akan tetap bodoh kalau ia tidak berusaha mengatasi kebodohannya dengan cara mencari ilmu. Seseorang akan tetap hidup sengsara jika ia tidak berikhtiar untuk lepas dari kesengsaraannya, dengan bekerja keras. Seseorang akan tetap pada watak dan kebiasaannya, seperti malas,  suka iri, pendendam, dan sebagainya, sampai ia berusaha mengubah watak dan kebiasaan tersebut. Seseorang akan tetap sakit sampai ia berusaha mencari kesembuhan dengan cara berubat. Maka usaha atau ikhtiar itu adalah wajib.


    Seterusnya bagi mempermudahkan ikhtiar kita mencapai keberhasilan, kita perlu memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa. Allah SWT berfirman dalam Surat Al Mukmin, ayat 60:

 ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Berdoalah kepadaKu, Aku akan mengabulkannnya”

    Selepas melakukan ikhtiar dan berdoa kepada Allah SWT dalam usaha kita meraih sesuatu, ada satu perkara lagi yang tidak boleh anda tinggalkan iaitu tawakkal.

Firman Allah dalam surah Ali Imran, ayat 159;


 فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Ertinya; "Apabila kamu bertekad maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya 

Allah menyukai orang yang bertawakkal. 


    Anda mampu mengubah hidup anda jika anda mahu. Hanya ada seroang sahaja yang boleh mengubah hidup anda dan menjadikan anda hebat. Bukan orang lain tetapi anda sendiri.

Usahalah! Anda boleh berjaya!



Rabu, 16 Disember 2020

SUNTIKAN SEMANGAT BUAT ANAK PELAJAR

 


Assalamualaikum dan Salam Ceria untuk semua...

Suntikan semangat hari ini buat anak-anak pelajar agar terus bangkit melangkah menjejak mercu kejayaan;

  1. Bayangkan kejayaan bukannya kegagalan. Jangan stress tak tentu hala. Lalui peperiksaan dengan senyuman. Bayangkan anda berjaya mencapai keputusan cemerlang. Anda pasti dapat melakukan yang terbaik ketika di dalam dewan peperiksaan.
  2. Orang-orang berjaya di dunia ini, pada awalnya bermula dengan satu harapan dan impian. Demi harapan dan impian, mereka mula berusaha untuk membuktikannya. Sehingga mereka berjaya mencapai kejayaan. Impian menjadi realiti.
  3. Expect the best, plan for the worst, and prepare to be surprised. Kegagalan adalah permulaan kejayaan sekiranya kita tidak berputus asa. Kerana sejarah membuktikan kegagalan sebanyak tiga kali akan berubah menjadi kejayaan bagi orang yang bangkit berjuang.
  4. Kemiskinan orang berilmu adalah kemiskinan ikhtiar. Manakala kemiskinan orang jahil ialah kemiskinan kesusahan.
  5. Berhenti merungut dan mengutuk. Kedua-duanya buat kita stress dan itu tandanya kita orang yang kurang bersyukur. Buangkan rungutan dan kutukan dalam minda. Insyaa Allah ilmu mudah masuk ke dalam fikiran.
  6. Minta dan bayangkan kejayaan dalam doa. Bila berdoa minta kejayaan dan bukannya gagal. Apabila menyebut kejayaan dalam doa, bayangkan apakah rasanya bila doa itu benar-benar dimakbulkan.

فَاِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى اللّٰهِ​ؕ اِنَّ اللّٰهَ يُحِبُّ الۡمُتَوَكِّلِيۡنَ‏ ﴿3:159﴾

“ Sekiranya kamu telah membulatkan tekad , bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang bertawakal.”

— Surah Ali ’Imran ayat 159

 

 Semoga anda berjaya.

 


Selasa, 15 Disember 2020

JANGAN JATUH KE LUBANG YANG SAMA

 


Assalamualaikum dan Salam Ceria untuk semua....Semoga anak-anak pelajar dilimpahi rezeki yang melimpah ruah pagi ini. Rezeki itu datang dari pelagai cara melalui usaha, doa dan tawakkal.

Jangan anda mulakan hari ini dengan kesilapan semalam. Setiap hari adalah hari yang baru. Setiap hari adalah permulaan yang baru. Bangunlah setiap pagi memulakan hari pertama untuk kehidupan baru.

Setiap pengakhiran ada permulaannya. Apabila hari semalam berakhir, kita punya peluang baru untuk hari ini. Ambil peluang baru hari ini  untuk anda menebus kesilapan semalam. 

Setiap hari kita dianugerahkan masa 24 jam untuk digunakan sebaik mungkin. Gunakanlah 24 jam itu sebaik mungkin. Jangan ulang kesilapan semalam. 

Jangan jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali. Pepatah mengatakan, hanya keldai yang jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali. Maksudnya, sebodoh-bodoh orang tak akan mengulangi kesilapan yang sama.

Bangkitlah wahai anak-anak yang dilahirkan untuk berjaya! Anda boleh berubah dan anda mampu melakukannya!


Isnin, 14 Disember 2020

HENDAK SERIBU DAYA, TAK HENDAK SERIBU DALIH

 Assalamualaikum dan Salam Ceria untuk semua...

Motivasi kita hari ini; Hendak seribu daya, Tak hendak seribu dalih. Sememangnya manusia sangat hebat dalam mencipta alasan. Tak 'hadir' kelas, tak buat kerja sekolah, tak hantar tugasan yang cikgu berikan ikut masa yang ditetapkan, semuanya ada bermacam-macam alasan.

Alasan dan sebab adalah dua perkara yang berbeza. Alasan diberikan untuk mengelak dan tiada asas manakala sebab diberikan kerana kita tidak punya pilihan. Contoh alasan; saya tak buat latihan yang cikgu berikan kerana saya tiada masa. Contoh sebab; saya tak buat latihan yang cikgu berikan kerana saya cirit birit.

George Washington, Presiden Amerika Syarikat yang pertama ada menyebut; "it is better to offer no excuse than a bad one". Maksudnya, lebih baik diam daripada memberikan alasan yang buruk.

Berhentilah menipu diri sendiri. Usahakanlah keluar dari zon selesa. Cuba ambil tanggungjawab terhadap diri sendiri. Belajarlah dari kesilapan. Kejayaan bukanlah apa yang anda suka atau tidak suka, tetapi kejayaan adalah tentang prinsip dan ketaatan. Apa prinsip anda untuk menggapai kejayaan dan sejauh mana anda taat dengan masa dan usaha yang anda lakukan untuk mencipta kejayaan. 

Jika anda mempunyai kemahuan untuk mendapatkan sesuatu, anda akan mencari pelbagai cara untuk mendapatkannya. Kejayaan datangnya dari keinginan yang membara, sikap positif, usaha yang hebat, dan sumbang khidmat daripada bantuan orang lain. 

Ingatlah yang kita manusia boleh berubah dan kita seharusnya berubah menjadi lebih baik dari semalam kerana kita sememangnya dilahirnya untuk berjaya bukan untuk gagal. Bangkitlah! Dunia sedang bergerak mara ke depan jangan kita yang tertinggal di belakang.

Semoga anda ceria dan berjaya. 

Ahad, 13 Disember 2020

SELALU NAMPAK SUKAR SEHINGGALAH IA BERJAYA DILAKUKAN


 Assalamualaikum dan Salam Ceria untuk semua...

Apa khabar anak-anak pelajar hari ini? Minggu ini adalah merupakan minggu terakhir persekolahan untuk sesi 2020. Sememangnya sesi persekolahan tahun 2020 ini sangat mencabar. Allah menguji kita dengan sedikit ujian menghadapi pandemik Covid-19. Pandemik ini sedikit sebanyak telah membuatkan sesi pengajaran dan pembelajaran kita di sekolah tidak dapat dilaksanakan dengan lancar. 

Hari ini, ummi petik kata-kata Nelson Mandela, Presiden Afrika Selatan; It seem impossible until it's done! Maksudnya, masalah yang pada mulanya nampak sukar untuk diatasi tetapi setelah berjaya ia nampak macam mudah. Siapa pernah melalui situasi seperti ini? Ummi rasa ramai yang pernah melaluinya dan ramai juga yang kecundang di tengah jalan.

Kita manusia biasanya suka dengan zon selesa. Apabila mengalami sedikit kesukaran kita agak sukar untuk keluar dari zon jika kita sudah selesa dengan keadaan sebelum itu. Jadi, bila dugaan datang kita tidak mampu mengatasinya dan lebih buruk lagi kalau kita mengalami tekanan perasaan atau depresi.

Kita hanya akan belajar apabila kita keluar dari zon selesa kita akan mencuba untuk melakukan norma baharu. 

Jika anda ada masalah, apa yang perlu anda lakukan?

  1. Kekal tenang dan cuba kawal perasaan. Tanamkan dalam fikiran bahawa aku mampu mengatasinya.
  2. Jangan lari dari masalah. Ambil tanggungjawab yang anda perlu selesaikan masalah tersebut. Lari dari masalah tidak akan membuatkan kita tenang dan masalh itu akan berulang.
  3. Tulis masalah tersebut dengan jelas di atas kertas, diari atau buku. Pecahkan masalah tersebut kepada beberapa bahagian jika masalah terlalu besar.
  4. Anggap masalah tersebut sebagai ruang untuk meningkatkan keupayaan dan sebagai cabaran kepada diri sendiri. Yakin bahawa anda mampu untuk mengatasinya.
  5. Minta bantuan rakan, keluarga atau guru. Anda sebenarnya tidak keseorangan.  InsyaAllah mereka akan membantu.

Ujian diberikan Allah SWT kepada kita hanya untuk mengetahui siapa yang ikhlas, bersabar dan siapa pula berbohong dan selalu berkeluh kesah. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’ sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.’”                                                                                 

(Surah al-An-kabut, ayat 2-3)

Semoga anda berjaya mengatasi ujian dengan yakin dan sabar👌😉 

Rabu, 9 Disember 2020

JANGAN SEKALI-KALI BERPUTUS ASA

 Assalamualaikum dan Salam Ceria untuk semua….

Apa khabar anda pagi ini? Semoga pagi ini anda lebih bersemangat daripada semalam. Bagi yang rasa tidak bersemangat, yang ada rasa putus asa, anda perlu bangkit. Jangan biarkan rasa itu menghantui dan membelengu akal fikiran anda. Anda ada pilihan! Pilihan anda untuk jadi lebih baik dari semalam.



Boleh amal tips ini bagi mereka yang mahu memancarkan semula senyuman di wajah dan hidup lebih ceria:


1. Berhenti beri tekanan pada diri sendiri

Kita meletakkan banyak tekanan pada diri sendiri. Walaupun bagus untuk bercita-cita tinggi, kadang-kadang ada masanya, anda perlu duduk, muhasabah diri, cermin semula diri dan kenal pasti semua perkara baik yang anda lakukan sekarang.

Oleh itu, apabila berasa kecewa, cubalah:

  • Fikirkan perkara-perkara dalam kehidupan yang membuatkan kita bersyukur. Fokus pada apa yang kita ada, bukan apa yang kita tidak lakukan atau tiada.
  • Berhenti memberi begitu banyak tekanan pada diri anda. Bersemangat dengan siapa diri kita sekarang pada masa ini. Dan ingat, kebahagiaan adalah pilihan.

2. Bangun dan bergerak

Salah satu cara terbaik untuk bagi berhadapan hari yang sukar adalah dengan bangun daripada duduk terperuk di satu-satu tempat. Lakukanlah pergerakan. Senaman adalah cara yang terbaik boleh mengubah mood anda.

Anda boleh keluar dan berjalan kaki, menunggang basikal di sekitar kawasan perumahan anda. Pergi ke gim atau ke studio zumba. Jangan hanya duduk terperuk berkubang di atas katil kerana sesungguhnya anda telah menyeksa fizikal dan batin anda sendiri. Bangun dan bergeraklah supaya anda dapat ‘angin’ baharu.


3. Dekatkan diri anda dengan orang yang anda suka

Keluarga dan kawan-kawan boleh menjadi ubat terbaik apabila anda ‘down’. Walaupun tidak dapat melihat mereka secara langsung, angkat telefon dan hubungilah orang yang anda sayangi. Kadang-kadang apa yang kita perlukan adalah kawan untuk mendengar dan membantu mengeluarkan perkara menyempitkan dada kita. Ingat, belon akan jadi kembang dan terus mengembang jika terlalu banyak angin yang diisi. Anda perlu lepaskan angina tersebut keluar, agar ‘belon’ itu tidak meletup.


4. Cuba bergelak tawa

Kita kadang-kadang terlalu serius. Tapi mari letakkan perspektif ini: bagaimana perasaan sewaktu saat kecil dahulu. Selalunya banyak perkara gembira dialami dalam hidup ketika itu. Bukankah hidup ibarat roda. Takkanlah sepanjang masa kita bersedih. Justeru ingatilah saat gembira itu bagi menghilangkan lelah buat seketika.

Ketahuilah bahawa kesedihan adalah sementara, manakala ia adalah pilihan sendiri. Barangkali pilih untuk ketawa dengan dengan menonton video lucu, filem, atau video kegemaran anda secara dalam talian.


5. Makan sesuatu yang sihat

Mengambil makanan ringan yang sihat dapat membantu anda berasa lebih baik dan mengisi badan anda dengan nutrien yang betul. Makanlah makanan sihat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, kacang, dan biji.

 

6. Sedut nafas dalam-dalam

Memfokuskan pada pernafasan mungkin dapat membantu anda daripada berfikir yang tidak-tidak.

Menurut artikel bertajuk Teknik Pernafasan, MyHealth, pernafasan kita akan menjadi cepat tanpa kawalan ketika kita stress. Dengan mengamalkan teknik pernafasan yang betul, kita boleh menjadi lebih tenang ketika berhadapan dengan situasi yang tegang. Ia dapat meningkatkan pertukaran antara oksigen dan karbon dioksida, meningkatkan peredaran darah dan mengurangkan ketegangan.

Latihan teknik pernafasan dapat dilakukan dengan memilih satu keadaan yang tiada gangguan dan selesa.

  • Tarik nafas perlahan-lahan (4 saat)
  • Tahan nafas (4 saat)
  • Lepaskan nafas perlahan-lahan (4 saat)
  • Terapkan perasaan lega setiap hembusan nafas keluar.
  • Ulangi langkah-langkah tersebut sehingga anda merasa tenang dan relaks.
  • InsyaAllah anda pasti akan rasa lega .

 

7. Luangkan masa dengan haiwan

Menurut artikel Wan Zahari, Mohd Hamim dan Abdul Rahman dari Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), dan Fakulti Perubatan, Universiti Institut Teknologi MARA (UITM), Shah Alam, terdapat hubungan antara manusia dan haiwan. Ia dinyatakan dalam tulisan mereka yang bertajuk Hubungan Manusia Dengan Haiwan Dalam Warisan Perubatan dan Kepentingan Haiwan Dalam Aspek Pemakanan dan Kesihatan Manusia. Dapatan artikel mereka menyebut, haiwan peliharaan terapeutik dan mereka pintar. Mereka dapat merasakan apabila seseorang sedih. Walaupun anda tidak mempunyai seekor kucing, ikan atau haiwan peliharaan lain, anda mungkin boleh cuba beri makanan kepada kucing jalanan yang anda jumpa. Jadi, apa kata anda cuba luangkan masa anda bersama haiwan. Mana tahu mengurangkan tekanan anda.


8. Lakukan sesuatu yang anda suka dan menarik (hobi)

Salah satu cara terbaik untuk membebaskan fikiran tentang perkara negatif adalah melakukan perkara yang anda suka. Buat beberapa perkara gembira dalam hidup anda. Jika gemar melukis atau berkebun, mengemas, mencuba origami dan sesuatu yang anda rasa mahu buat, tetapi tidak pernah mencuba, apa kata kali ini cuba lakukannya. Mana tahu dapat menghilangkan rasa ‘down’ anda itu.


9. Baca sesuatu yang inspiratif

Sebenarnya walaupun dengan sepatah ayat yang anda bacapun kadang-kadang ia boleh mencetuskan  kuasa untuk menyembuhkan dan mengurangkan rasa ‘down’ itu. Cubalah membuat carian di internet dan cari petikan inspirasi yang boleh memotivasikan anda. Tonton ucapan dari tokoh terkenal dan inspirasi yang anda kagumi. Atau baca buku-buku motivasi atau inspiratif.


10. Selesaikan semua perkara yang patut

Antara cara mudah untuk mengubah fikiran negatif apabila anda mengalami hari yang buruk adalah dengan melakukan kerja. Sama ada kerja rumah, atau kerja pada projek yang anda sukai, dapatkan kerja yang dilakukan akan membantu anda merasa produktif dan membebaskan minda anda.

Sebagai orang Islam pula, ‘kerja’ yang patut anda lakukan adalah menunaikan kewajipan dengan mengingati-NYA. Adakah anda sudah melakukan suruhannya ketika ini? Belum solat? Maka tunaikanlah!

 

Jangan sekali-kali berputus asa. La takhofu wala tahzan, innallaha ma'anaa...jangan takut dan jangan berdukacita sesungguhnya Allah bersama-sama kita. Semoga anda jalani hari-hari yang mendatang dengan lebih ceria dan bermakna. Wassalam. 😊

Selasa, 8 Disember 2020

5 CARA UNTUK LEBIH MUDAH FOKUS SEMASA BELAJAR PdPR


 Ingat! Selalu ada harapan bagi mereka yang sering SOLAT dan BERDOA.

Selalu ada jalan bagi mereka yang sering BERUSAHA!



Selamat maju dan jaya!😉


Isnin, 7 Disember 2020

CALON SPM 2020 MASIH LAGI LEKA MAIN GAME?

 Assalamualaikum dan Salam Ceria untuk semua….


Hari ini masih lagi nak bercakap tentang isu Kelas Online tapi ramai yang tak ‘hadir’. 😭Sangat menyedihkan! Terutama bagi pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang sememangnya akan menduduki SPM. Walaupun tarikh SPM ditunda tetapi seharusnya penundaan itu bukanlah memberi peluang untuk calon-calon SPM bersantai-santai main game. Benarlah permainan computer ini menyeronokkan tetapi ia boleh membuatkan seseorang itu ketagih sama seperti rokok, alkohol dan dadah juga.

Apabila seseorang sudah mula mengalami ketagihan permainan ini, mereka akan kurang memberi tumpuan terhadap perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka akan sentiasa rasa tercabar dengan permainan tersebut sehingga mereka tidak mahu meninggalkan gajet mereka.

Jika ini yang berlaku kepada anda. Maka, anda perlulah berusaha untuk membuang ketagih permainan komputer ini. Di sini ada 3 tips bagaimana nak hilangkan ketagih main game. Harap dapat membantu anda.😉

 

1.  Hilangkan Game Dari Mindset

Caranya amatlah simple. Iaitu buang game tu. Yes. Kalau game tu jenis install kat komputer macam DOTA, sila uninstall. Kalau game tu jenis online pulak, buang link tu dari history browser. Pastikan mentality anda kuat untuk tak install balik game tu. Cuba ‘puasa’ dari main game tu untuk 2 minggu. InsyaAllah lepas tu hilang ketagih main game.

 

2.  Jauhkan Diri dari Gajet

Kalau cara pertama tak jalan jugak, anda boleh buang dia punya punca.  Apa punca dia? Medium game tu lah. Contohnya komputer, gameboy, dan lain-lain lagi.

 

3.  Sedar Diri

Cara yang terakhir ialah kena sematkan ke dalam minda anda yang anda ada urusan yang lagi penting. Ni lebih kurang dengan soal hidup dan mati anda lah ni. SPM adalah penentu anda kelayakan anda di sekolah menengah. “Kalau tak ada SPM, apa aku nak jadi?” sila Tanya soalan ni kepada diri anda!


Dah cuba 3 cara tu? Tak jalan jugak??? Hmm tepuk dada tanyalah akal fikiran. Jangan tanya selera lagi dah….sudah sudah lah! Gi belajar kelas PdPR cikgu kamu duk tunggu tuh. 

Dalam dunia tanpa sempadan, setiap dari kita perlu peka dan menghadkan masa bermain game, lebih-lebih lagi kepada anak-anak pelajar agar tidak berlebihan dan mengakibatkan sesuatu yang tidak diingini. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

✋😁

 

 

Rabu, 2 Disember 2020

KAEDAH MURDER UNTUK ANAK-ANAK PELAJAR MEMULAKAN PdPR

Assalamualaikum dan Salam Kecemerlangan untuk semua…

 




Masih lagi dalam PKP,  perlu duduk di rumah dan tiada aktiviti bersemuka. Cabaran yang paling besar bagi guru-guru akhir-akhir ini adalah untuk mengajar secara PdPR di mana tidak ada aktiviti face to face bersama anak murid kecuali melalui google meet, google classroom, zoom dan sebagainya. Namun halangan yang paling besar ialah apabila guru sahaja yang tercongok dan memanggil-manggil anak murid tapi anak murid tenggelam tak timbul-timbul…Huhuhu sedih bukan.😢😢😢

Banyak survey / pemerhatian yang dibuat untuk mengkaji kenapa boleh jadi sebegini rupa. Macam-macam alasan yang diberi. Ada yang kata tak faham belajar online ni. Tak seronok… susah nak bagi tumpuan dan macam-macam lagi, tapi apapun semuanya kembali kepada SIKAP. Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih. Semua adalah pilihan. Anda sendiri yang menentukan apa pilihan anda!

Sememangnya untuk anda faham apa yang cikgu ajar adalah dengan memberi fokus atau tumpuan yang penuh kepada apa yang cikgu ajar. Anda perlu mempunyai satu method atau proses “Step-By-Step” untuk menyiapkan diri anda bagi memulakan pengajaran dan pembelajaran yang lebih bermakna.

Hari ini ummi nak kongsikan satu teknik yang diadaptasikan dari buku John R. Hayes, The Complete Problem Solver, yang mana kaedah yang digunakan sangat efektif, iaitu kaedah  M.U.R.D.E.R. MURDER adalah singkatan dari Mood- Understand- Recall- Digest- Expand- Review. Ini boleh anda gunakan apabila anda mahu memulakan PdPR anda.

 

KAEDAH  M.U.R.D.E.R

M : MOOD 

Sebelum memulakan pelajaran. Anda perlu sedar apakah mood yang anda sedang berada sekarang. Jika negatif. Positifkannya.

 

Jika positif. Positif yang bagaimana ? Adakah anda terlalu happy?  Terlalu Excited?  Pastikan anda berada dalam keadaan sederhana sahaja. Jangan terlalu happy dan terlalu sedih atau marah. Pembelajaran berlaku apabila seorang pelajar berada dalam keadaan yang sederhana seronok dan mempunyai MATLAMAT. That’s what sets you in the mood.

 

U : UNDERSTAND

Fahami apa yang guru anda sedang sampaikan. Untuk faham/ UNDERSTAND anda perlu lakukan 3 proses tambahan ini. LISTEN -> NOTE DOWN -> ASK. Apabila guru mengajar. Dengar baik-baik (Listen). Tulis sebarang poin yang anda tidak faham (Note Down). Tanya pada cikgu poin yang anda telah catat tadi (Ask). Dalam kelas PdPR anda boleh mesej secara personal kepada guru anda kalua malu nak tanya dalam group. Lagi mudah bukan? Dengan bertanya, kita akan lebih faham apa yang diajar. Belajarlah bertanya wahai anak-anak pelajar….

 

R : RECALL

Setelah faham. Cuba ingat semula poin-poin yang guru anda telah ajar. Mungkin juga poin-poin atau fakta yang anda sendiri telah baca sebelum mula kelas tadi. Gunakan imaginasi anda. Boleh juga anda tanya soalan pada diri anda sendiri. Soalan membuatkan diri kita menjadi “Curious” rasa ingin tahu. Apabila ingin tahu. Kita pasti mahukan jawapannya.

 

D : DIGEST

Apabila anda sudah faham. Sudah mampu untuk mengingati kembali fakta atau poin penting. Kini masa untuk MENGHADAM (Digest) apa yang anda telah pelajari. Untuk HADAM apa yang anda telah pelajari gunakan 2 Teknik ini.

1.  Tanya kembali pada diri “Adakah aku benar-benar sudah faham tentang ini ?”

2.  Tanya pada kawan “Apa yang kau faham tentang ini”.

 

E : EXPAND

Expand bermaksud kembangkan. Sekiranya anda mengajar atau berkongsi dengan rakan-rakan lain. Apakah yang anda akan lakukan? Apakah poin atau fakta yang anda mahu cakap kepada mereka. Apabila kita belajar untuk diri kita, motivasi belajar kita mungkin tidak setinggi mana. Namun apabila kita belajar untuk mengajar. Motivasi diri kita pastinya berbeza. Cuba berkongsi ilmu dan fakta yang anda telah pelajari kepada rakan-rakan lain pula. Hanya dengan video call pun anda boleh cuba untuk kembangkan apa yang anda pelajari dengan mengajar kawan anda. Sebaiknya berkongsi dengan kawan yang sudi mendengar dan mahu belajar. Jangan buang masa dengan mereka yang tiada matlamat belajar.

 

R : REVIEW

Buat peta minda untuk “review” (pelajari kembali) apa yang anda telah belajar selepas kelas nanti. Anda boleh guna sahaja apa-apa teknik asalkan anda boleh catat dalam nota anda. 



Buka senang nak senang. Semuanya kena usaha. Ingat !! Tiada kejayaan semudah petik jari sahaja…. Anda kena usaha. Yes... Do It! No matter how you feel, get up, dress up, show up and never give up!

Jangan putus asa.💪💪💪 Semoga anda semua berjaya dan berjaya!!!

 

 

 

Selasa, 1 Disember 2020

LAGI TIPS UNTUK MELAWAN PENYAKIT MALAS

 Assalamualaikum dan Salam B' Wangsa buat anak-anak pelajar....



    Belum habis-habis lagi isu malas ni rupanya. Semenjak dua menjak ni sibuk guru-guru memperkatakan tentang anak-anak didik yang tak 'hadir' PdPR. Tak hadir bukan disebabkan masalah internet tetapi kerana SIKAP. Hmmmm susah lah kalau diserang penyakit M ni. Penyakit malas ini memang cukup bahaya sebenarnya, bahayanya hampir-hampir menyamai covid-19 kerana boleh membunuh jiwa dan ia juga belum ada vaksin atau ubat yang dijual lagi mana-mana kedai atau farmasi. Iya, tiada lagi ubat yang boleh melawan penyakit malas ini.😀

 

Walau apapun setiap penyakit ad acara untuk kita mencegahnya. Salah satunya adalah dengan menghapuskan semua fikiran berbentuk negatif, dalam erti kata lain, sentiasalah bersikap positif. Di sini ummi kongsikan 5 cara lain yang mungkin boleh memotivasikan anda bila timbul penyakit malas.

 

1. Selesaikan Tugas Yang Paling Besar

Ya, selesaikan tugas yang paling besar yang perlu anda buat terlebih dahulu. Biasanya perasaan malas ini datang apabila anda rasa terbeban dengan banyak tugas, contohnya perlu menyiapkan banyak kerja sekolah dalam masa yang singkat.

Untuk mengatasi masalah ini, cuba tetapkan untuk selesaikan tugas satu per satu. Mulakan dengan menyelesaikan tugas atau kerja yang paling besar dahulu, kemudian barulah dengan kerja yang lebih ringan. Ini cara terbaik untuk mengelakkan rasa malas dari terus bersemadi di dalam diri anda.

 

2. Bersenam

Bersenam di antara cara yang mudah dan praktikal untuk menghilangkan rasa malas. Tidak banyak bergerak boleh mengundang perasaan malas, jadi lakukan senaman ringan seperti lari setempat, berjalan di sekitar kawasan terdekat, skipping, atau boleh juga cuba senaman ‘lompat bintang’.

Secara langsung ia boleh melancarkan semula perederan darah di dalam tubuh dan memberi tenaga kepada anda.

 

3. Fokus

Berikan fokus yang sebaiknya pada tugas atau kerja yang perlu disiapkan, elakkan dari sikap suka menangguh kerja. Menangguh kerja akan mencuri masa anda dan akan membebankan anda dengan kerja yang lebih banyak.

 

4. Rehat Seketika

Bawa bertenang dan rehat seketika, ini juga cara berkesan untuk menghilangkan perasaan malas. Cuba segarkan kembali fizikal dan mental anda dan tumpukan perhatian kepada tugas-tugas yang perlu di siapkan.

 

5. Beri Ganjaran Kepada Diri Sendiri

Menurut kajian, seseorang lebih seronok menyelesaikan sesuatu tugas jika diberi ganjaran. Jadi apa kata anda beri ganjaran kepada diri sendiri, letakkan satu matlamat apa hadiah yang bakal anda berikan kepada diri anda jika berjaya menyelesaikan sesuatu tugas dalam jangka masa yang ditetapkan.

Ini cara paling seronok untuk memotivasikan diri, siapa tak suka jika diberi hadiah bukan?. Hadiah pula bergantung kepada apa yang anda suka, tidak semestinya dalam bentuk barangan yang mahal-mahal sahaja. Belanja diri sendiri dengan makan kek dan ice cream pun dah dikira beri ganjaran dah tu. Hmmm makan ice cream musim hujan… ada ke?😋

 

Apapun yang penting adalah usaha. Jangan hanya tengok, tunggu dan lihat saja. Anda kena USAHA! Orang putih kata DO IT! Bila? Sekarang lah! Bila lagi?

Semoga anda dah tak malas-malas lagi. All the best

Isnin, 30 November 2020

8 FAKTOR KENAPA MALAS BELAJAR PdPR???

 


Sesi Pembelajaran tetap diteruskan walaupun kita kini dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi menangani penularan wabak covid-19. Ini adalah kerana, belajar adalah kewajipan seorang pelajar. Hidup tanpa belajar bagaikan hidup tanpa nyawa. Apapun sebenarnya, masalah malas belajar sangat menghantui ramai pelajar tak kira di peringkat manapun. Mengapa pelajar malas belajar? Ada banyak sebab yang membolehkan keadaan ini terjadi. Di sini, ummi senaraikan 8 faktor yang mungkin menyebabkan anda malas belajar:

 

1.  Tiada matlamat yang jelas mengapa mereka mesti belajar dan manfaat ilmu yang dipelajari itu dengan kehidupan masa depan, sama ada di dunia ataupun di akhirat.

 

2. Kurangnya minat dan motivasi dalaman diri. Mereka ini tidak nampak adakah perlunya mereka belajar dan mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

 

3. Mudah berasa cukup selesa dengan apa yang ada. Biasanya masalah ini berlaku kepada mereka yang datang dari keluarga yang senang dan berada.

 

4. Tidak cukup rehat dan tidur (penat main game pun salah satu punca penat). Otak kita memerlukan istirehat yang cukup bagi membolehkan otak berfikir dengan baik dan segar. Apabila otak yang tidak mendapat tidur dan rehat yang cukup, akan cepat penat dan hilang kemampuan untuk menumpu. Maka itulah malas terjadi.

 

5. Keasyikan kepada permainan video (game) dan dunia media sosial seperti facebook, tiktok, instagram, twitter, whatsapp dan sebagainya juga adalah penyumbang utama kepada masalah ini.

 

6.  Kurang bersenam atau melakukan aktiviti yang menyegarkan badan. Ini menjadikan badan kita tidak dapat mengeluarkan hormon-hormon tertentu yang boleh menyegarkan dan memberi tenaga untuk belajar dengan berkesan.

 

7. Terlalu banyak minum minuman berkafein seperti teh tarik, kopi, coca-cola, pepsi-cola dan sebagainya. Ini menjadikan saraf-saraf tubuh dan otak terlalu bergantung kepada kafein ini untuk bekerja. Apatah lagi jika diminum sebelum tidur. Otak akan terus bekerja meskipun kita sedang tidur disebabkan kafein ini. Oleh itu, pada siang hari kita menjadi letih dan malas.

 

8. Faktor persekitaran yang tidak memberangsangkan. Jika anda bergaul dengan rakan-rakan sebaya yang lemah dan kurang semangat belajar, ataupun orang lain yang selalu cuba merendah-rendahkan semangat dan kemampuan anda. Ini juga menjadikan anda malas untuk belajar.

 

Rasulullah SAW ada berpesan "Allah benci kepada pemuda-pemuda yang menganggur (malas).”

 

Malas adalah keadaan diri yang tidak ghairah dalam menjalankan sesuatu perkerjaan. Rasa malas adalah penyakit paling mengerikan yang dapat menghambat kejayaan seseorang.

Sabda Rasulullah SAW: "Sejahat-jahat musuh kamu ialah nafsu kamu sendiri yang berada antara dua rusuk kamu." (Riwayat al-Baihaqi)

Antara perkara yang boleh dilakukan bagi mengawal hawa nafsu ini adalah dengan sentiasa melakukan perkara-perkara kebaikan dan menguatkan hubungan dengan Allah SWT, seperti yang dinyatakan di dalam al-Qur’an :

 

Firman Allah SWT dalam Surah Al Ankabut:

 

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّـهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

 

Maksudnya : “ Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan), dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah bersama orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya ”.

[al-‘Ankabut : 69]

 

Semoga Allah SWT menjadikan anda dalam kalangan hamba-hambaNya yang soleh dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri dan berusaha untuk kejayaan.

 

Wallahua'lam.

 

Khamis, 26 November 2020

MENGANTUK KETIKA PdPR?

 


Anda sering menguap ketika sesi pembelajaran online di rumah? Kerap kali tertidur bila cikgu sedang mengajar di screen? Ikuti 6 tips mudah ini!

 

1. Kenal pasti tanda mengantuk anda dengan segera.

Ini amat penting terutamanya semasa sesi PdPR berlangsung. Simptom utama biasanya adalah menguap. Jika tidak dikesan puncanya dari awal, dibimbangi anda akan tertidur semasa cikgu sedang mengajar. Terlepas input penting, anda yang rugi!


2. Basuh muka.

Tak kiralah sama ada anda belajar bersama guru atau belajar sendiri, anda patut bangun dan pergi ke tandas untuk mencuci muka bagi menghilangkan rasa mengantuk. Kadang-kadang, waktu anda berjalan menuju ke tandas itu juga satu cara untuk hilangkan mengantuk. Sampai-sampai je dekat meja belajar, insha-Allah dah segar semula.

 

3. Buat senaman ringan.

Jika tidak mahu ke tandas, gerak-gerakkan tangan dan kaki anda. Buat senaman-senaman ringan yang tidak memerlukan anda bangun dari tempat duduk anda. Goyang-goyangkan tangan dan kaki.

 

4. Minum air kosong dan hirup udara segar

Rasa mengantuk tu datang daripada kurangnya oksigen yang pergi ke otak kita. Maka bila anda sedang belajar di rumah, pilihlah ruang yang mempunyai pengudaraan yang selesa dan udara semulajadi yang nyaman. Paling mudah, banyakkan minum air kosong atau air mineral untuk kekal segar.

 

5. Rehatkan mata seketika

Segarkan mata anda dengan memandang benda-benda semulajadi terutamanya yang berwarna lembut seperti hijau daun dan birunya langit. Luangkan seminit dua sebelum menyambung semula untuk menelaah pelajaran.

 

6. Berwuduk

Bagi Muslim, amatlah baik bila diamalkan berwuduk untuk mengembalikan kesegaran tubuh dan minda. Terutamanya apabila belajar di waktu tengah malam, ambillah wuduk dan tunaikanlah solat-solat sunat. Kemudian sambung kembali belajar. Insha-Allah, rasa mengantuk yang juga permainan syaitan itu akan hilang!

 

Tips yang sangat membantu bukan? Semoga waktu belajar dapat dimanfaatkan secara maksimum bila anda segar dan kekal fokus.

Kekallah aktif belajar di rumah! Semoga anda Berjaya!