Ahad, 8 Julai 2012

KOMPONEN MOTIVASI DIRI


Salam mumtaz untuk anak-anak ummi semua...

Hari ini Ummi nak sambung lagi bicara ummi mengenai motivasi yang Ummi sebut semalam.

Iaitu mengenai Komponen-komponen yang perlu ada dalam motivasi diri:
 
Niat Belajar
Perlu sedar bahawa anda belajar adalah kerana Allah. Bila anda membetulkan niat, anda akan dapat ganjaran pahala yang besar.

Menetapkan Matlamat
Matlamat perlu jelas, khusus, boleh dicapai, dibataskan oleh waktu dan bersifat cemerlang. Bila anda menetapkan matlamat, anda perlu jelaskan pada diri anda tentang sebab-sebab anda mahukan matlamat itu.





Bersihkan Hati
Diri anda perlulah menjadi seorang yang baik. Buangkanlah segala sifat yang buruk dan tanamkan sifat terpuji. Sucikan hati dan fikiran anda. Sabda Rasulullah s.a.w.  tentang soal hati yang bermaksud:
Ketahuilah kamu di dalam badan manusia terdapat segumpal darah. Apabila baik maka baiklah keseluruhan segala perbuatannya dan apabila buruk maka buruklah keseluruhan tingkah lakunya. Ketahuilah kamu bahawa ia adalah hati’   Jadi, sentiasalah bersangka baik, hormat dan sayang terhadap orang lain.
Pepatah Arab ada menyatakan:
Kemanisan ilmu bila dikuasai oleh orang yang ada kemanisan iman bagaikan kemanisan tamar yang terhidang di hadapan orang yang sedang berbuka puasa.’

Pepatah ini menggambarkan perwatakan orang yang beriman dan berilmu apabila disertai dengan kesabaran terasa senang dan tenang serta sejuk setiap mata yang memandang.

Itulah peranan hati dalam kehidupan. Hati dapat mencorak kewibawaan seseorang melalui gerak geri dan perilaku yang disenangi dalam pergaulan sehari-hari.

Bersungguh Mahu
Tanamkan kemahuan yang mendalam untuk mencapai cita-cita anda. Kemahuan untuk Berjaya perlulah diniatkan sepenuh hati.

Belajar dengan objektif yang jelas
Anda perlulah mempunyai objektif yang jelas untuk dicapai dalam satu-satu mata pelajaran setiap hari. Cubalah sedaya upaya anda untuk mencapai objektif tersebut.

Hargai Kemampuan anda
Allah telah menjadikan anda lengkap dengan segala anggota tubuh badan dan lengkap keperluannya untuk Berjaya. Firman Allah dalam Surah At Tin

maksudnya :
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian”.
Hargailah kemampuan yang telah Allah kurniakan kepada kita dengan cara mengoptimakan penggunaanya.

Mohonlah kepada  Allah
Tiada siapa yang dapat membantu anda selain dari Allah s.w.t. Dialah yang berkuasa memudahkan lorong untuk anda menuju kejayaan. Maka mohonlah pertolonganNya dan janganlah pula sekali-kali anda abaikan tanggungjawab anda yang utama iaitu solat 5 waktu. Ingatlah! Bahawa Allah akan menunaikan permintaan bagi orang-orang yang Dia kehendaki. Firman Allah:



“Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan.”   (Surah Yusuf 12:56)  

 Jika anda tidak menunaikan solat 5 waktu adakah anda rasa yang anda akan termasuk dalam golongan orang-orang yang Allah pilih itu? Jadi, tunaikanlah solat dan berdoalah kepadaNya. Insyaallah bantuan Allah akan pasti datang.

Persaingan yang sihat
Adalah dibolehkan untuk anda bersaing dalam pelajaran. Namun begitu, bersainglah dengan cara yang sihat.

Mengatasi Halangan
Sentiasalah berfikiran positif terhadap apa sahaja masalah dan halangan yang datang. Dalam usaha menuju kejayaan sudah pasti ada dugaan dan halangan. Bersabarlah  dan atasilah dengan bijak dan semangat yang kental.

Sayang kepada guru
Anda perlu tanamkan rasa sayang dan hormat kepada guru. Selalulah mendampingi guru dan berinteraksilah dengan mereka. Lantaran itulah Lukmanulhakim telah menasihati anaknya dengan katanya: ‘Wahai anakku, dudukiah bersama-sama orang yang berilmu dan berbincanglah bersama
mereka dengan penuh dedikasi, maka sesungguhnya Allah akan menghidupkan
segala isi hati hambanya dengan cahaya hikmah ilmu-Nya seperti mana
menyubur bumi dengan titisan hujan
’. Ingat lagi tak analogi tentang teko dan cawan yang pernah Ummi sebutkan sebelum ini???


Berkawan dengan rakan yang baik
Carilah kawan yang positif yang boleh mendorong anda menuju kejayaan. Sabda Rasulullah SAW “Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.” (H.R al-Hakim)   
Begitu juga dengan pepatah Arab ada menyebut, “Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”

Besarnya pengaruh rakan ini turut disokong dan disebut oleh  Irfan Khairi, Jutawan Internet yang mengatakan ; ‘ 85% daripada kejayaan anda bergantung pada orang di sekeliling anda, pengetahuan yang anda dapat dari orang lain serta kenalan-kenalan anda’. Begitu juga motivator Anthony Robbins turut menyebut dengan merapati orang-orang yang lebih berjaya dan lebih bermotivasi akan lebih membawa kita kepada kejayaan yang cemerlang.

Membantu orang lain
Bantulah rakan-rakan anda yang memerlukan bantuan anda. Tidak akan luak ilmu yang kita ada jika anda memberi tunjuk ajar kepada rakan-rakan anda . malah imlu itu akan berkembang dan menjadi bertambah lagi.  Umpama zakat, makin dikeluarkan makin bertambah…inilah yang dinamakan keberkatan. Jadi, sama-samalah bantu membantu untuk maju.

Hadiahkan sesuatu untuk diri anda
Jangan lupa untuk menghadiahkan sesuatu  kepada diri anda setiap kali anda dapat mencapai kejayaan-kejayaan kecil.

Elakkan kesilapan
Sebaik-baiknya jangan lah buat silap. Jika berlaku, jangan sekali-kali ulangi kesilapan yang sama. Ada pepatah yang menyebut ‘hanya keldai sja yang jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali’. Maknanya orang yang bodoh sahajalah yang mengulangi kesilapan yang sama



Mencontohi orang-orang yang Berjaya
Lihat orang-orang yang telah Berjaya dalam pelajarannya dan cuba contohi mereka. Jika boleh, tanyalah dari mereka mengenai cara-cara mereka boleh Berjaya dengan cemerlang.


Mantapkan keyakinan
Anda perlu yakin kepada kekuasaan Allah dan janji Allah bahawa sesiapa yang berusaha gigih pasti akan Berjaya. Dengan cara ini anda akan yakin pada diri anda sendiri dan punya dorongan yang tinggi. Selalulah berkata-kata pada diri sendiri.


 Mencari persekitaran yang baik
Carilah persekitaran yang baik iaitu yang positif serta mendorong anda untuk lebih Berjaya. Jika ianya tidak ada, maka anda perlulah membentuk suasana itu.

Merancang waktu rehat
Sebagai manusia biasa, anda perlu berehat bila sampai masanya agar kerja anda menjadi lebih berkualiti dan tubuh anda akan menjadi segar dan sihat. Maka rancanglah pengurusan masa yang betul.

Sentiasa berdoa dan bertawakkal
Berdoalah setiap hari. Berusahalah setiap hari juga. Doa dan usaha itu perlulah berganding setiap masa. Setelah anda puas berusaha, dan telah menduduki peperiksaan, maka tawakkal pula kepada Allah dan yakinlah kepada rahmatNya. Mudah-mudahan anda akan Berjaya dengan cemerlang.



Ayuh anak-anak sekalian!!!! Apa tunggu lagi! mulakan langkah kejayaan anda bermula hari ini. sesungguhnya kita dilahirkan untuk berjaya...ya...untuk berjaya! 

Semoga berjaya....wassalam...
 




 

3 ulasan: