Rabu, 25 November 2020

JANGAN ASYIK MENGELUH

 


Assalamualaikum dan Salam B’ Wangsa buat anak-anak pelajar...


    Kita masih lagi berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan masih lagi tidak boleh belajar secara bersemuka. Banyak rungutan demi rungutan yang ummi dengar daripada anak-anak pelajar.... “susahlah belajar online...” “tak faham....” “macam mana nak masuk U kalau belajar macam ni?...” “cikgu bagi latihan banyak sangat manalah sempat saya nak buat semua ni...” “saya susah, ayah saya kena berhenti kerja sejak PKP ni...”😢 dan macam-macam keluhan lagi. 

     Dulu tatkala ada peluang belajar bersemuka di sekolah pun tidak kurang juga rungutan yang anak-anak pelajar keluhkan. Cuba anak-anak perhatikan, dalam sehari berapa kali agaknya kita mengeluh? Silap sikit kita mengeluh. Rasa tak selesa, rimas, hadapi masalah dan macam-macam lagi kita mengeluh. Kalau banyak kerja kita mengeluh penat dan kalau tiada kerja pula kita mengeluh bosan.

     Sikap banyak mengeluh ini sangatlah membimbangkan kerana ia boleh melarat menjadi depression pula. Jadi, apa agaknya yang menghentikan kita daripada mengeluh? Ubat untuk penyakit mengeluh ini adalah redha. Redha bukan bermaksud berserah tanpa berusaha. Redha adalah akur dan rendah diri kepada ketentuan Tuhan. Juga mengakui akan fitrah kehidupan yang penuh berliku. Ada pahit dan ada yang manis. Itu semua adalah asam garam kehidupan.

     Setiap orang pasti merasai kepahitan dan kesusahan hidup. Tetapi jika semakin kita mengeluh kepahitan itu, semakin bertambahlah keperitan yang dirasai.

     Kalau ada masalah, kesusahan atau cabaran, jangan ikut kata hati memberontak dan menggelisahkan diri. Sebaiknya, ikut tingkah laku orang-orang yang beriman iaitu bertenang dan mengingati Tuhan.

 

 Sabda Junjungan Besar kita Nabi Muhammad SAW;


ﺇﺬﺍ ﺃﺭﺩﺖ ﺃﻣﺮﺍ ﻓﻌﻠﻴﻚ ﺑﺎﻟﺗﺆﺩﺓ ﺤﺘﻰ ﻴﺮﻴﻙ ﺍﷲ ﻤﻨﻪ ﺍﻟﻣﺨﺭﺝ - ﺭﻮﺍﻩ ﺍﻟﺑﺧﺎﺭﻯ
 
         Maksudnya; Apabila engkau menghendaki suatu perkara, maka engkau harus bersikap tenang sehingga Allah memperlihatkan kepadamu jalan keluarnya

                                                                    - (Riwayat Bukhari)
    
     Mengeluh berlebihan itu sesungguhnya tidaklah memberikan jalan penyelesaian bahkan merisaukan lagi jiwa. Jiwa yang tidak tenang pastinya akan membuatkan fikiran jadi berserabut dan kita tidak mampu untuk berfikir secara rasional mencari jalan penyelesaian yang sebaiknya.

     Ingat, berfikirlah penuh tenang dan bertindaklah penuh matang kerana kita dilahirkan sememangnya untuk berjaya dan bahagia. 

Semoga anak-anak pelajar sihat, ceria dan tenang semuanya. 

 

Selasa, 24 November 2020

KEKAL AKTIF SELEPAS KELAS ONLINE

 


Assalamualaikum dan Salam B’ Wangsa buat anak-anak pelajar tersayang. 

    Umi mulakan bicara pagi ini dengan kata-kata Alexander Graham Bell, Sebelum hal lain (sebelum apapun), persiapan adalah kunci menuju sukses. Penting untuk kita melakukan apa sahaja perkara perlu ada persiapan. Maksud persiapan di sini adalah perancangan yang disertakan dengan tindakan. Oleh kerana kita masih lagi belajar secara dalam talian, maka ummi mengajak anak-anak pelajar agar kekal aktif selepas kelas.

Apa yang perlu anda lakukan selepas kelas online?

    Lihat sekali imbas apa yang telah diajar oleh guru. Ramai pelajar apabila selesai sahaja kelas online mereka terus tutup buku dan nota-nota mereka. Otak manusia mudah lupa apa yang dipelajari dalam masa yang singkat jika tiada usaha yang diambiluntuk menyimpannya ke ingatan panjang. Jadi, sebaik sahaja kelas online anda tamat, cuba ambil masa beberapa minit untuk anda semak/ lihat semula catatan-catatan yang diajar oleh guru   tadi. Dengan cara ini, potensi untuk anda mengingat lebih lama adalah tinggi.

    Tambah maklumat melalui buku-buku tambahan atau rujukan di internet. Selepas kelas, segera cari makumat-maklumat tambahan mengenai apa yang diajar. Ini akan membuatkan anda lebih faham lagi.

    Bandingkan nota anda dengan nota kawan-kawan melalui whatsapp group call sekiranya ada maklumat tercicir. Aplikasi-aplikasi dalam talian yang sedia ada seperti whatsaap, telegram, line dan sebagainya boleh dimanfaatkan sebagai medium untuk anda jalankan study group. Dengan cara ini pembelajaran akan menjadi lebih fokus, mudah mendapatkan bantuan rakan dan mengurangkan tekanan pembelajaran secara online. 

    Berbincang dengan rakan melalui aplikasi dalam talian. Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih. PKPB bukanlah alasan untuk anda membuat study group bersama rakan. Anda tidak perlu bersemuka. Video call kan ada!

    Perkara penting dalam mengejar kecemerlangan bukanlah boleh atau tidak, tetapi mahu atau tidak! Man jadda wajada, sesiapa yang berusaha dia berjaya.

Semoga anda berjaya!

Isnin, 23 November 2020

BERTINDAK UNTUK KEJAYAAN

 


Assalamualaikum dan Salam B’ Wangsa buat anak-anak pelajar yang disayangi....

    Sememangnya tindakanlah yang membezakan antara orang berjaya dengan orang gagal. Boleh dikatakan semua orang ada matlamat kerana matlamat itu boleh saja hadir dalam imaginasi atau bayangan semata-mata. Semua orang pernah membayangkan untuk berjaya. Ramai orang berangan-angan membayangkan bentuk kejayaan yang mereka inginkan.

    Apa yang membezakan orang yang berjaya dengan orang yang gagal adalah tindakan mereka. Kita sering kali mendengar kata-kata ; ‘manusia tidak merancang untuk gagal tapi meraka gagal untuk merancang’.

    Ingat anak-anak pelajar sekalian, dunia kita pada hari ini sangat terdedah dengan bentuk perlumbaan yang dahsyat dan sengit. Cabaran dunia hari ini yang semakin sempit membuatkan manusia perlu merebut peluang yang ada. Apa pilihan anda? Adakah anda hendak membiarkan sahaja angan-angan anda kekal dalam bayangan atau anda bertindak dan berusaha mencipta jaya? Ingatlah, sesiapa yang kuat dan gigih, maka dialah yang akan ke hadapan. Tiada istilah tunggu dan menunggu. Yang ada hanyalah istilah kejar dan mengejar!

    Jadi, mulakan sahaja cita-cita dan perancangan anda hari ini dengan penuh semangat untuk menjadikannya realiti. Kita selalu tersilap fikir, bila aku bersemangat nanti aku akan mula belajar bersungguh-sungguh.... bila aku ada mood nanti aku akan siapkan kerja kursus aku.... Ini semua adalah pemikiran yang tidak bijak. Seharusnya, setiap kali kita berfikir dan merancang, mulakan terus langkah demi langkah untuk bertindak.Bertindak! Mulakan sekarang. Jangan tunggu tunggu.

    Percayalah, kita akan mendapat kekuatan dan semangat untuk sesuatu perkara selepas kita mulakannya. Iya benar, perjalanan jauh beribu batu adalah bermula dari langkah yang pertama! Jadi, ayuh mulakannya sekarang!
Semoga anda berjaya...😉