Isnin, 23 November 2020

BERTINDAK UNTUK KEJAYAAN

 


Assalamualaikum dan Salam B’ Wangsa buat anak-anak pelajar yang disayangi....

    Sememangnya tindakanlah yang membezakan antara orang berjaya dengan orang gagal. Boleh dikatakan semua orang ada matlamat kerana matlamat itu boleh saja hadir dalam imaginasi atau bayangan semata-mata. Semua orang pernah membayangkan untuk berjaya. Ramai orang berangan-angan membayangkan bentuk kejayaan yang mereka inginkan.

    Apa yang membezakan orang yang berjaya dengan orang yang gagal adalah tindakan mereka. Kita sering kali mendengar kata-kata ; ‘manusia tidak merancang untuk gagal tapi meraka gagal untuk merancang’.

    Ingat anak-anak pelajar sekalian, dunia kita pada hari ini sangat terdedah dengan bentuk perlumbaan yang dahsyat dan sengit. Cabaran dunia hari ini yang semakin sempit membuatkan manusia perlu merebut peluang yang ada. Apa pilihan anda? Adakah anda hendak membiarkan sahaja angan-angan anda kekal dalam bayangan atau anda bertindak dan berusaha mencipta jaya? Ingatlah, sesiapa yang kuat dan gigih, maka dialah yang akan ke hadapan. Tiada istilah tunggu dan menunggu. Yang ada hanyalah istilah kejar dan mengejar!

    Jadi, mulakan sahaja cita-cita dan perancangan anda hari ini dengan penuh semangat untuk menjadikannya realiti. Kita selalu tersilap fikir, bila aku bersemangat nanti aku akan mula belajar bersungguh-sungguh.... bila aku ada mood nanti aku akan siapkan kerja kursus aku.... Ini semua adalah pemikiran yang tidak bijak. Seharusnya, setiap kali kita berfikir dan merancang, mulakan terus langkah demi langkah untuk bertindak.Bertindak! Mulakan sekarang. Jangan tunggu tunggu.

    Percayalah, kita akan mendapat kekuatan dan semangat untuk sesuatu perkara selepas kita mulakannya. Iya benar, perjalanan jauh beribu batu adalah bermula dari langkah yang pertama! Jadi, ayuh mulakannya sekarang!
Semoga anda berjaya...😉




Tiada ulasan:

Catat Ulasan