Khamis, 17 Disember 2020

ANDA BOLEH BERJAYA!

 



Assalamualaikum dan Salam Ceria untuk semua...

    Hari ini adalah merupakan hari terakhir sesi persekolahan 2020. Sesi persekolahan yang paling mencabar berbanding tahun-tahun sebelum ini. Kita diuji dengan ujian yang tak terduga. Sesi persekolahan yang biasanya berlangsung secara bersemuka terpaksa ditangguh dua kali. Sememangnya ini menjejaskan segala perancangan yang dirancang dari awal. Namun, kita hanya mampu merancang kerana perancangan Allahlah yang Maha Terbaik. Allah menguji kita sejauh mana kita berikhtiar untuk mencipta jaya.

Allah SWT berfirman dalam Surat Ar-Ra’d, ayat 11,

 إِنَّ اللهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ

 

 “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” 

    Allah telahpun menegaskan kepada kita bahawa jika seseorang menginginkan sesuatu, seperti kejayaan dalam menuntut ilmu,  perubahan nasib, mendapatkan rezeki, , kesihatan, dan sebagainya, maka ia harus melakukan suatu usaha secara aktif dan nyata, dan inilah yang disebut dengan ikhtiar atau usaha.


    Jadi seseorang akan tetap bodoh kalau ia tidak berusaha mengatasi kebodohannya dengan cara mencari ilmu. Seseorang akan tetap hidup sengsara jika ia tidak berikhtiar untuk lepas dari kesengsaraannya, dengan bekerja keras. Seseorang akan tetap pada watak dan kebiasaannya, seperti malas,  suka iri, pendendam, dan sebagainya, sampai ia berusaha mengubah watak dan kebiasaan tersebut. Seseorang akan tetap sakit sampai ia berusaha mencari kesembuhan dengan cara berubat. Maka usaha atau ikhtiar itu adalah wajib.


    Seterusnya bagi mempermudahkan ikhtiar kita mencapai keberhasilan, kita perlu memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa. Allah SWT berfirman dalam Surat Al Mukmin, ayat 60:

 ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Berdoalah kepadaKu, Aku akan mengabulkannnya”

    Selepas melakukan ikhtiar dan berdoa kepada Allah SWT dalam usaha kita meraih sesuatu, ada satu perkara lagi yang tidak boleh anda tinggalkan iaitu tawakkal.

Firman Allah dalam surah Ali Imran, ayat 159;


 فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Ertinya; "Apabila kamu bertekad maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya 

Allah menyukai orang yang bertawakkal. 


    Anda mampu mengubah hidup anda jika anda mahu. Hanya ada seroang sahaja yang boleh mengubah hidup anda dan menjadikan anda hebat. Bukan orang lain tetapi anda sendiri.

Usahalah! Anda boleh berjaya!



Rabu, 16 Disember 2020

SUNTIKAN SEMANGAT BUAT ANAK PELAJAR

 


Assalamualaikum dan Salam Ceria untuk semua...

Suntikan semangat hari ini buat anak-anak pelajar agar terus bangkit melangkah menjejak mercu kejayaan;

  1. Bayangkan kejayaan bukannya kegagalan. Jangan stress tak tentu hala. Lalui peperiksaan dengan senyuman. Bayangkan anda berjaya mencapai keputusan cemerlang. Anda pasti dapat melakukan yang terbaik ketika di dalam dewan peperiksaan.
  2. Orang-orang berjaya di dunia ini, pada awalnya bermula dengan satu harapan dan impian. Demi harapan dan impian, mereka mula berusaha untuk membuktikannya. Sehingga mereka berjaya mencapai kejayaan. Impian menjadi realiti.
  3. Expect the best, plan for the worst, and prepare to be surprised. Kegagalan adalah permulaan kejayaan sekiranya kita tidak berputus asa. Kerana sejarah membuktikan kegagalan sebanyak tiga kali akan berubah menjadi kejayaan bagi orang yang bangkit berjuang.
  4. Kemiskinan orang berilmu adalah kemiskinan ikhtiar. Manakala kemiskinan orang jahil ialah kemiskinan kesusahan.
  5. Berhenti merungut dan mengutuk. Kedua-duanya buat kita stress dan itu tandanya kita orang yang kurang bersyukur. Buangkan rungutan dan kutukan dalam minda. Insyaa Allah ilmu mudah masuk ke dalam fikiran.
  6. Minta dan bayangkan kejayaan dalam doa. Bila berdoa minta kejayaan dan bukannya gagal. Apabila menyebut kejayaan dalam doa, bayangkan apakah rasanya bila doa itu benar-benar dimakbulkan.

فَاِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى اللّٰهِ​ؕ اِنَّ اللّٰهَ يُحِبُّ الۡمُتَوَكِّلِيۡنَ‏ ﴿3:159﴾

“ Sekiranya kamu telah membulatkan tekad , bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang bertawakal.”

— Surah Ali ’Imran ayat 159

 

 Semoga anda berjaya.

 


Selasa, 15 Disember 2020

JANGAN JATUH KE LUBANG YANG SAMA

 


Assalamualaikum dan Salam Ceria untuk semua....Semoga anak-anak pelajar dilimpahi rezeki yang melimpah ruah pagi ini. Rezeki itu datang dari pelagai cara melalui usaha, doa dan tawakkal.

Jangan anda mulakan hari ini dengan kesilapan semalam. Setiap hari adalah hari yang baru. Setiap hari adalah permulaan yang baru. Bangunlah setiap pagi memulakan hari pertama untuk kehidupan baru.

Setiap pengakhiran ada permulaannya. Apabila hari semalam berakhir, kita punya peluang baru untuk hari ini. Ambil peluang baru hari ini  untuk anda menebus kesilapan semalam. 

Setiap hari kita dianugerahkan masa 24 jam untuk digunakan sebaik mungkin. Gunakanlah 24 jam itu sebaik mungkin. Jangan ulang kesilapan semalam. 

Jangan jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali. Pepatah mengatakan, hanya keldai yang jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali. Maksudnya, sebodoh-bodoh orang tak akan mengulangi kesilapan yang sama.

Bangkitlah wahai anak-anak yang dilahirkan untuk berjaya! Anda boleh berubah dan anda mampu melakukannya!