Khamis, 7 Jun 2012

Meniru orang-orang yang Berjaya 1


Salam ceria semua…..

Hari ini Ummi hendak berkongsi salah satu daripada tip penting untuk Berjaya iaitu Meniru Orang-orang Yang Berjaya. (Hmmmm…jangan salah faham….orang-orang ni bukan bermaksud orang-orang yang ada di sawah padi buat penghalau burung tu yer…)

Kejayaan bukanlah suatu misteri yang tidak terungkap.  Ia perlu bermula dalam fikiran sebelum ia menjadi kenyataan kerana itulah Ummi selalu berpesan kepada anak-anak Ummi, bahawa “ kita ialah, apa yang kita fikirkan ”.  Terdapat tiga perkara penting yang perlu diketahui sebelum sesuatu kejayaan itu mampu direalisasikan. 


Bertanggung jawab sepenuhnya. 
Yang pertama, anda perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap siapa anda, apa yang anda capai dan dimana anda berada hari ini.  Anda perlu menerimanya, walaupun pahit, tanpa menyalahkan orang lain dan persekitaran.  Sekiranya anda tidak mencapai apa yang anda inginkan maka andalah yang bersalah, bukan orang lain!!!  Maknanya kalau anda tidak mengawal haluan hidup anda maka orang lain akan menggunakan segala kebolehan dan potensi yang ada pada diri anda.  Hanya dengan anda mengakui hakikat yang penting ini, maka barulah anda boleh menjelajah kehidupan ini dengan lebih berkeyakinan.  Anda tahu yang anda punya pilihan lain, selain dari apa yang anda lakukan setiap hari.  Ingat, "Hanya anda sahaja yang boleh mengubah hidup anda, bukan orang lain". 

Anak-anak tentunya sudah biasa mendengar nama Kolonel Sanders  bukan. Boleh dikatakan di setiap pekan kita akan dapat jumpa dan merasai kelazatan ayam goreng KFC. Dialah orang yang mencipta resepi ayam goreng Kentucky Fried Chicken yang kita nikmati hari ini. Beliau telah mencipta nama dan kejayaan yang cemerlang setelah menempuhi berbagai kegagalan.  
 
Kol. Sanders bersara pada usia 65 tahun.  Ketika menerima duit pencen pertamanya, Kol. Sanders merasa cukup kecewa.  Beliau tidak menyalahkan orang lain kecuali dirinya terhadap jumlah kecil yang diperolehinya.  Beliau seterusnya memutuskan untuk
memajukan resepi ayam goreng milik keluarganya kepada sebuah restoran.  Malangnya, hasrat beliau ditolak.  Adakah beliau berputus asa??  Tidakkk... beliau terus mengubah resepinya dan berjumpa dengan lebih ramai orang... orang ke-10 kata tidakk.... orang ke-100 kata tidakkkk... orang ke-1000 juga kata tidakkk...  Tetapi orang ke-1009 kata ... "YA..RESEPI ANDA BAGUS".  Sembilan tahun kemudian, setelah bisnesnya maju, Kol. Sanders telah menjual bisnesnya dengan harga US$2,000,000.   Itulah ganjarannya bagi orang yang gigih dan sabar.  Ganjaran bagi mereka yang mula mengubah haluan hidup setelah menyedari bahawa dialah yang bertanggung jawab atas siapa dirinya hari ini; dan dialah juga yang bertanggung jawab untuk memperbaiki pencapaiannya.  Tanpa ciri-ciri ini Kol. Sanders mungkin merasa cukup sekadar menerima habuan pencen bulanan semata-mata. 

Anda juga pasti mahukan kejayaan.  Adakah anda telah berusaha ribuan kali seperti cerita Kolonel Sanders di atas???  Jauh panggang dari api.   Ramai pelajar sekolah yang apabila menyelesaikan masalah matematik, sains dan lain-lain yang agak susah, hanya mencubanya setakat beberapa kali sahaja.  Tidak sampai pun 10 kali.  Inikah cara usaha anda yang impikan kejayaan?  Ingatlah setiap masalah itu datang dengannya penyelesaian.  Setiap cabaran itu datang dengannya habuan dan pulangannya.  Teruslah berusaha... bukan setakat sekali, sepuluh kali..malah ratusan dan ribuan kali... 


Sedikit perbezaan membawa hasil besar.  
Yang kedua, untuk mendapat sepuluh kali ganda kejayaan daripada orang lain bukanlah bermakna anda perlu sepuluh kali lebih gigih, lebih kuat atau lebih bijak dari mereka.  Anda hanya perlu berbeza sedikit daripada mereka sekeliling anda.  Berbeza cara fikir, berbeza cara bertindak dan berbeza dalam menerima kenyataan hidup.  Fokuskan minda anda untuk lebih baik sedikit daripada manusia biasa.  Ini membolehkan anda memperolehi pencapaian yang luar biasa, yang tidak terfikir oleh manusia biasa. Begitulah juga dalam hidup ini.  Anda perlu berusaha lebih sedikit dari orang sekeliling anda untuk mencapai kejayaan dalam hidup.   

Persepsi membentuk diri.  
Yang ketiga ialah persepsi anda. Iaitu bagaimana anda melihat sesuatu yang berlaku terhadap anda dan disekeliling anda.  Kehidupan bukanlah nasib tetapi lebih kepada pilihan.  Anda boleh memilih untuk senang atau susah.  Apabila anda memilih untuk hidup senang, dan sanggup berkorban untuk kesenangan maka tiada sesiapa pun yang boleh menghalang kehendak anda.  Persepsi anda terhadap sesuatu natijah pastinya mempengaruhi emosi anda.  Seterusnya ia akan mempengaruhi tindakan anda  dan seterusnya pula menentukan hasil iaitu natijah dari tindakan tersebut.  Emosi anda terhadap apa sahaja yang berlaku terhadap anda bergantung kepada cara fikir yang terbentuk secara spontan.  Apa perasaan anda apabila rakan anda tidak menunaikan janjinya untuk hadir dalam satu mesyuarat yang cukup penting?  Ummi yakin anda akan marah dan kecewa.  Ini disebabkan anda fikir bahawa rakan anda tidak boleh diharap.  Tidak berpegang pada janji.  Suka menyusahkan orang lain dan sebagainya.  Tetapi cuba ubah cara fikir anda sekarang.  Cuba fikirkan, jangan-jangan ada kemalangan.  Jangan-jangan ada yang jatuh sakit atau kematian.  Bagaimana emosi anda sekarang?  Adakah anda masih marah dan kecewa?  Pasti tidak.  Emosi anda kini berubah menjadi risau dan bimbang.  Tindakan yang anda ambil bergantung kepada emosi anda.  Emosi yang terbentuk pula dipengaruhi oleh cara fikir anda.  Akhirnya hasil yang anda perolehi sebenarnya tidak lain dan tidak bukan, bergantung kepada cara fikir atau persepsi anda. 

Oleh itu, mulai saat ini mulalah pilih cara fikir yang menguntungkan anda.  Yang membuatkan anda kelihatan hebat.  Islam sendiri melarang kira berburuk sangka dan banyak bersabar. Firman-Nya bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain...”(Surah al-Hujurat, ayat 11). Ingat!!! Setiap apa yang berlaku mengandungi hikmah Allah yang tersembunyi.  Janganlah lagi menjadi orang yang bertindakbalas secara spontan kepada keadaan dan persekitaran.  Sebab tindakbalas spontan ini kebiasaannya merugikan kehidupan anda. 

Ingatlah, kehidupan yang tergambar dalam kotak fikiran anda adalah kehidupan yang akan anda tempuhi.  Ada orang tetap bersemangat walaupun berpuluh kali gagal sebab mereka tahu setiap kegagalan itu datang bersamanya pengajaran yang cukup bermakna.  Ubah cara fikir anda.  Ubah perancangan dan tindakan anda.  Setiap kali gagal, cuba SEKALI LAGI menggunakan pendekatan baru.   

Ingat, Kolonel Sanders gagal lebih seribu kali.  Apa yang anda perlu lakukan ialah berusaha lebih sedikit daripada manusia biasa  untuk menjadi manusia luar biasa.  Sesungguhnya kita dilahirkan adalah untuk BERJAYA!!!! 

Hayya alal falah!!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan