Rabu, 18 November 2020

MENINGKATKAN TUMPUAN SEMASA BELAJAR DI RUMAH

 Assalamualaikum dan Salam B Wangsa buat anak-anak pelajar semua...


    Kita masih lagi berada dalam sesi persekolahan 2020. Tetap meneruskan sesi pembelajaran biarpun di rumah. Ummi tak dapat nafikan yang pembelajaran di rumah ini agak sukar untuk anda memberikan tumpuan. Banyak halangan yang mengganggu dan sangat sukar untuk meningkatkan tumpuan. Jadi, hari ini ummi nak berkongsi bagaimana cara untuk anda tingkatkan tumpuan ketika belajar.

    Anda perlu tahu terdapat tiga faktor yang boleh menjejaskan tumpuan iaitu gangguan dalam diri, gangguan luaran dan tidak ada matlamat dalam apa yang dilakukan.

    Gangguan dalam diri. Antara gangguan itu ialah kurang pemakanan yang seimbang atau diet yang berkhasiat, kurang bersenam, masalah dengan rakan, krisis keluarga, kewangan dan sebagainya. Krisis yang berlaku dalam keluarga atau masalah dengan rakan walaupun kecil memberi kesan besar kepada psikologi kita. Elakkan krisis tetapi bina ikatan yang lebih rapat sangat membantu meningkatkan tumpuan. Ingat, belon pada asalnya kuncup tetapi jika diisi angin ia akan mengembang dan terus mengembang. Apa yang paling ditakuti  ialah takut belon itu sudah tidak mampu bertahan sudah pasti ia akan meletup.  Jadi, antara penyelesaian terbaik adalah merujuk Guru Bimbingan Kaunseling secara talian.

    Rancang masa makan kira-kira dua jam daripada jadual belajar. Selepas makan, kuantiti darah yang banyak diperlukan bagi menjalankan proses penghadaman di perut. Jika banyak di perut, maka kuranglah di kepala dan anda akan mula mengantuk.

    Gangguan luaran. Gangguan dari luar yang mengganggu tumpuan sebenarnya boleh diatasi dengan disiplin diri yang tinggi. Antara gangguan luaran yang dimaksudkan ialah tempat belajar yang tidak selesa, gangguan tv, mesej-mesej rakan yang kerap masuk, notification dari sosial media yang muncul di screen telefon dan banyak lagi. Benda-benda ini semua sangat mengganggu tumpuan dan hanya dapat diatasi oleh anda sendiri, bukan orang lain.

    Anda perlu bijak mengawal diri anda. Semua benda itu adalah pilihan dan ianya bergantung kepada anda sendiri. Norma baharu kita sekarang adalah Belajar Di Rumah dan sudah tentu talian internet adalah medan yang paling utama kini. Jangan anda salah guna kemudahan internet yang anda ada masa ini. Pastikan anda tidak melekat di bilik-bilik yang salah. Jangan pula anda salah guna talian internet yang anda ada dengan bermain game online pula.😓

    Tidak ada matlamat dalam apa yang dilakukan. Kita tidak dapat memberikan tumpuan apabila kita tidak tahu mengapa kita perlu melakukannya. Mengapa anda belajar? Perlu ada matlamat untuk anda tanamkan niat kenapa anda belajar hari ini. Dengan cara ini anda akan dapat fokus hampir seratus peratus kepada apa yang anda hadap sekarang. Ingat, tiada matlamat maka tiadalah tumpuan! 

    Ummi akhiri perkongsian hari ini dengan kata-kata Thomas Ava Edison, Banyaknya kegagalan dalam kehidupan ini adalah mereka yang tidak menyedari betapa dekatnya mereka dengan kejayaan; dan mereka menyerah kalah.




    Semoga anak-anak pelajar ummi tidak menyerah kalah begitu saja. Teruskan berusaha... anda pasti berjaya!

   

Selasa, 17 November 2020

MENGUATKAN DAYA INGATAN

 Assalamualaikum dan Salam B' Wangsa buat anak-anak semua....

    Apa khabar anak-anak hari ini? Kita kembali bersiaran di sini sempena Belajar Di Rumah. Kita masih lagi ada tugas besar iaitu untuk memutuskan rantaian Covid-19. Perlu kembali duduk di rumah. Namun perjuangan kita masih belum selesai. Bagi calon-calom  SPM dan STPM boleh menarik nafas lega kerana tarikh peperiksaan dipinda sekali lagi. Ini memberi ruang untuk anak-anak pelajar membuat persediaan rapi bagi menghadapi peperiksaan tersebut. Gunakanlah masa yang diberi ini sebaik-baiknya untuk mengulangkaji dan menghafal subjek-subjek yang masih belum kamu kuasai.



    Setiap orang mempunyai tahap ingatan yang berbeza-beza. Ada yang cepat menangkap apa yag disampaikan dan ada yang kurang kuat daya ingatannya. Ia sebenarnya bergantung kepada cara kita berfikir. Ia boleh dipertingkatkan oleh sesiapa sahaja kalau kita berusaha.

    Belajar dengan aktif. Sekiranya anda hanya membaca tanpa mendalami maksud ayat-ayat yang dibaca, bahan-bahan ini tidak akan masuk ke dalam ingatan anda. Baca, faham, buat latihan, dan terangkan kepada orang lain adalah ciri-ciri belajar dengan aktif. Jika anda belajar dengan cara sebegini, insyaAllah bahan-bahan yang anda baca akan kekal dalam ingatan anda.

    Guna beberapa pendekatan. Jangan hanya sekadar baca! Cuba dapatkan konsep, lukis peta minda, atau mungkin anda boleh lukis gambar semasa membaca. Anda boleh tulis ayat-ayat sendiri dalam usaha untuk menguatkan daya ingatan anda.

    Ulangkaji sebelum 24 jam berakhir. Maklumat-maklumat yang anda baca boleh keluar tanpa anda sedar. Sebab ia hanya boleh bertahan dalam tempoh 24 jam. Jika ada belajar sambil mencatat isi-isi yang anda baca, kemudian dalam tempoh sebelum berakhirnya 24 jam dari waktu anda baca tadi anda buat ulangkaji semula dengan menyemak, baca sepintas lalu nota-nota yang anda catat insyaAllah ia akan menguatkan daya ingatan anda.

    Bina hubungan antara isi-isi penting. Cuba jalinkan rangkaian isi-isi maklumat yang anda baca dengan menghubiungkaitkan maklumat-maklumat tersebut. Cara ini adalah untuk membina kefahaman anda dalam topik yang anda baca. Apabila anda faham dengan jelas maka ianya akan kukuh dalam ingatan anda.

    Buat latihan. Ingatan yang baik sepatutnya mampu menyimpan banyak maklumat dan mengeluarkannya semula dengan teratur. Ia dapat dipertingkatkan dengan banyak membuat latihan pengukuhan. Cari buku-buku soalan latih tubi topikal dan buatlah latihan untuk mengukuhkan daya ingatan anda.

    Tidur yang mencukupi. Tidur yang mencukupi ye anak-anak, bukannya banyak tidur 😉. Kajian menunjukkan, tidur yang cukup penting untuk kesihatan mental dan fizikal. Bukan itu sahaja, malah tidur yang cukup juga perlu untuk menguatkan ingatan. Ini kerana otak memerlukan masa tidur untuk memproses dan meletakkan dalam komponen ingatan jangka panjang. Hentikan dulu aktiviti-aktiviti yang mengganggu anda seperti game, media sosial seperti facebook, ig, tik tok dan sebagainya. Benda-benda ini sangat mengganggu gaya tudur anda dan boleh menyebabkan anda letih dan hilang tumpuan untuk belajar. 

        Ulangkaji ialah proses belajar di mana kita membina ingatan. Memori adalah teras kekuatan pembelajaran. Oleh itu, pastikan anda menguatkan daya ingatan anda. Semoga berjaya!


Isnin, 9 November 2020

Kita Diuji Lagi...

 Assalamualaikum dan Salam B’ Wangsa buat semua

    Sesi persekolahan 2020 amat mencabar. Kita diuji lagi kali ini dengan berita pengumuman cuti bagi seluruh negera termasuklah negeri Kelantan, Pahang dan Perlis, biarpun negeri-negeri ini bukan dari zon merah. Pengumuman yang mengejutkan ini menimbulkan pelbagai reaksi dari anak-anak pelajar. Ada yang suka, ada yang berduka... lebih-lebih lagi anak2 pelajar yang bakal menduduki SPM dan STPM nanti.

    Sememangnya kita berada dalam norma baharu. Tak tahu bila agaknya kita untuk kembali pulih seperti dulu. Kita bukan saja-saja diuji. Setiap apa yang berlaku ada hikmah yang kita sendiri tidak tahu apa yang akan menanti. Namun, di sebalik ujian ini kita boleh saksikan yang tahun 2020 pembelajaran fizikal tidak dapat kita laksanakan sepenuhnya. Walaupun begitu, dengan kecanggihan teknologi dan kemudahan gajet yang ada kita boleh belajar cara baharu... tetaplah belajar... walaupun di rumah.

    Ingatlah anak-anak, setiap kali apabila kita ditimpa kesukaran hidup cuba ingatkan semula betapa banyaknya nikmat-nikmat Allah yang pernah dan sedang kita perolehi. Sesungguhnya tidaklah musibah yang ditimpakan itu terlalu banyak melainkan hanya secebis daripada bahagian nikmat-nikmat yang amat besar dan banyak dalam kehidupan kita.


Peace ✌️