Rabu, 18 November 2020

MENINGKATKAN TUMPUAN SEMASA BELAJAR DI RUMAH

 Assalamualaikum dan Salam B Wangsa buat anak-anak pelajar semua...


    Kita masih lagi berada dalam sesi persekolahan 2020. Tetap meneruskan sesi pembelajaran biarpun di rumah. Ummi tak dapat nafikan yang pembelajaran di rumah ini agak sukar untuk anda memberikan tumpuan. Banyak halangan yang mengganggu dan sangat sukar untuk meningkatkan tumpuan. Jadi, hari ini ummi nak berkongsi bagaimana cara untuk anda tingkatkan tumpuan ketika belajar.

    Anda perlu tahu terdapat tiga faktor yang boleh menjejaskan tumpuan iaitu gangguan dalam diri, gangguan luaran dan tidak ada matlamat dalam apa yang dilakukan.

    Gangguan dalam diri. Antara gangguan itu ialah kurang pemakanan yang seimbang atau diet yang berkhasiat, kurang bersenam, masalah dengan rakan, krisis keluarga, kewangan dan sebagainya. Krisis yang berlaku dalam keluarga atau masalah dengan rakan walaupun kecil memberi kesan besar kepada psikologi kita. Elakkan krisis tetapi bina ikatan yang lebih rapat sangat membantu meningkatkan tumpuan. Ingat, belon pada asalnya kuncup tetapi jika diisi angin ia akan mengembang dan terus mengembang. Apa yang paling ditakuti  ialah takut belon itu sudah tidak mampu bertahan sudah pasti ia akan meletup.  Jadi, antara penyelesaian terbaik adalah merujuk Guru Bimbingan Kaunseling secara talian.

    Rancang masa makan kira-kira dua jam daripada jadual belajar. Selepas makan, kuantiti darah yang banyak diperlukan bagi menjalankan proses penghadaman di perut. Jika banyak di perut, maka kuranglah di kepala dan anda akan mula mengantuk.

    Gangguan luaran. Gangguan dari luar yang mengganggu tumpuan sebenarnya boleh diatasi dengan disiplin diri yang tinggi. Antara gangguan luaran yang dimaksudkan ialah tempat belajar yang tidak selesa, gangguan tv, mesej-mesej rakan yang kerap masuk, notification dari sosial media yang muncul di screen telefon dan banyak lagi. Benda-benda ini semua sangat mengganggu tumpuan dan hanya dapat diatasi oleh anda sendiri, bukan orang lain.

    Anda perlu bijak mengawal diri anda. Semua benda itu adalah pilihan dan ianya bergantung kepada anda sendiri. Norma baharu kita sekarang adalah Belajar Di Rumah dan sudah tentu talian internet adalah medan yang paling utama kini. Jangan anda salah guna kemudahan internet yang anda ada masa ini. Pastikan anda tidak melekat di bilik-bilik yang salah. Jangan pula anda salah guna talian internet yang anda ada dengan bermain game online pula.😓

    Tidak ada matlamat dalam apa yang dilakukan. Kita tidak dapat memberikan tumpuan apabila kita tidak tahu mengapa kita perlu melakukannya. Mengapa anda belajar? Perlu ada matlamat untuk anda tanamkan niat kenapa anda belajar hari ini. Dengan cara ini anda akan dapat fokus hampir seratus peratus kepada apa yang anda hadap sekarang. Ingat, tiada matlamat maka tiadalah tumpuan! 

    Ummi akhiri perkongsian hari ini dengan kata-kata Thomas Ava Edison, Banyaknya kegagalan dalam kehidupan ini adalah mereka yang tidak menyedari betapa dekatnya mereka dengan kejayaan; dan mereka menyerah kalah.




    Semoga anak-anak pelajar ummi tidak menyerah kalah begitu saja. Teruskan berusaha... anda pasti berjaya!

   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan