Selasa, 17 November 2020

MENGUATKAN DAYA INGATAN

 Assalamualaikum dan Salam B' Wangsa buat anak-anak semua....

    Apa khabar anak-anak hari ini? Kita kembali bersiaran di sini sempena Belajar Di Rumah. Kita masih lagi ada tugas besar iaitu untuk memutuskan rantaian Covid-19. Perlu kembali duduk di rumah. Namun perjuangan kita masih belum selesai. Bagi calon-calom  SPM dan STPM boleh menarik nafas lega kerana tarikh peperiksaan dipinda sekali lagi. Ini memberi ruang untuk anak-anak pelajar membuat persediaan rapi bagi menghadapi peperiksaan tersebut. Gunakanlah masa yang diberi ini sebaik-baiknya untuk mengulangkaji dan menghafal subjek-subjek yang masih belum kamu kuasai.



    Setiap orang mempunyai tahap ingatan yang berbeza-beza. Ada yang cepat menangkap apa yag disampaikan dan ada yang kurang kuat daya ingatannya. Ia sebenarnya bergantung kepada cara kita berfikir. Ia boleh dipertingkatkan oleh sesiapa sahaja kalau kita berusaha.

    Belajar dengan aktif. Sekiranya anda hanya membaca tanpa mendalami maksud ayat-ayat yang dibaca, bahan-bahan ini tidak akan masuk ke dalam ingatan anda. Baca, faham, buat latihan, dan terangkan kepada orang lain adalah ciri-ciri belajar dengan aktif. Jika anda belajar dengan cara sebegini, insyaAllah bahan-bahan yang anda baca akan kekal dalam ingatan anda.

    Guna beberapa pendekatan. Jangan hanya sekadar baca! Cuba dapatkan konsep, lukis peta minda, atau mungkin anda boleh lukis gambar semasa membaca. Anda boleh tulis ayat-ayat sendiri dalam usaha untuk menguatkan daya ingatan anda.

    Ulangkaji sebelum 24 jam berakhir. Maklumat-maklumat yang anda baca boleh keluar tanpa anda sedar. Sebab ia hanya boleh bertahan dalam tempoh 24 jam. Jika ada belajar sambil mencatat isi-isi yang anda baca, kemudian dalam tempoh sebelum berakhirnya 24 jam dari waktu anda baca tadi anda buat ulangkaji semula dengan menyemak, baca sepintas lalu nota-nota yang anda catat insyaAllah ia akan menguatkan daya ingatan anda.

    Bina hubungan antara isi-isi penting. Cuba jalinkan rangkaian isi-isi maklumat yang anda baca dengan menghubiungkaitkan maklumat-maklumat tersebut. Cara ini adalah untuk membina kefahaman anda dalam topik yang anda baca. Apabila anda faham dengan jelas maka ianya akan kukuh dalam ingatan anda.

    Buat latihan. Ingatan yang baik sepatutnya mampu menyimpan banyak maklumat dan mengeluarkannya semula dengan teratur. Ia dapat dipertingkatkan dengan banyak membuat latihan pengukuhan. Cari buku-buku soalan latih tubi topikal dan buatlah latihan untuk mengukuhkan daya ingatan anda.

    Tidur yang mencukupi. Tidur yang mencukupi ye anak-anak, bukannya banyak tidur 😉. Kajian menunjukkan, tidur yang cukup penting untuk kesihatan mental dan fizikal. Bukan itu sahaja, malah tidur yang cukup juga perlu untuk menguatkan ingatan. Ini kerana otak memerlukan masa tidur untuk memproses dan meletakkan dalam komponen ingatan jangka panjang. Hentikan dulu aktiviti-aktiviti yang mengganggu anda seperti game, media sosial seperti facebook, ig, tik tok dan sebagainya. Benda-benda ini sangat mengganggu gaya tudur anda dan boleh menyebabkan anda letih dan hilang tumpuan untuk belajar. 

        Ulangkaji ialah proses belajar di mana kita membina ingatan. Memori adalah teras kekuatan pembelajaran. Oleh itu, pastikan anda menguatkan daya ingatan anda. Semoga berjaya!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan