PESAN UMMI (Guru Bimbingan Kaunseling Sepenuh Masa, SMK Dato' Biji Wangsa) berpesan-pesan dengan kebenaran, berpesan-pesan dengan kesabaran
Isnin, 23 November 2020
BERTINDAK UNTUK KEJAYAAN
Ahad, 22 November 2020
BELAJAR SECARA BIJAK
{Seseorang yang tidak belajar dengan betul, tidak ada bezanya dengan orang yang tidak boleh membaca} - Mark Twain
Assalamualaikum dan Salam B Wangsa buat semua..... 😀
Apa khabar anda hari ini? Umi teruskan suntikan semangat pagi ini dengan tips belajar secara bijak. Ada orang sukar untuk memulakan sesi belajar. Ada juga yang tidak tahu apa yang dia baca. Bagaiamana anda tahu anda sudah faham apa yang anda baca?
Ada lima faktor yang menggalakkan anda belajar secara bijak. Faktor-faktor itu ialah kehendak belajar, keperluan untuk belajar, belajar dengan membuat latihan, belajar daripada maklum balas dan belajar dengan kefahaman.
Kehendak belajar. Pepatah ada menyebut “anda boleh tarik kuda ke tepi sungai, tetapi kamu tidak boleh paksa kuda minum air”. Tidak ada sesiapa yang boleh paksa anda belajar tatkala anda enggan melakukannya. Anda perlu ada dorongan dalam diri anda sendiri untuk anda belajar dengan bijak dan penuh tekun. Jangan bertangguh apabila sampai waktu untuk belajar. Jangan ikut kata hati untuk buat kerja-kerja lain seperti semak notification fb, layan ig, mesej kawan atau tidur sebentar sebelum anda mula belajar. Ini semua boleh menghalang anda belajar. Sepatutnya bila tiba waktu belajar, duduk dan belajarlah!
Keperluan untuk belajar. Sekiranya anda tidak ada keperluan sendiri untuk belajar, anda kena ingat yang dalam hidup ini anda tetap perlu belajar. Anda perlu ingat, tugas pelajar adalah belajar. Anda perlu belajar mengulangkaji setiap topik anda anda pelajari. Suka atau tidak, anda tetap perlu belajar.
Belajar dengan membuat latihan. Jika anda belajar tanpa membuat latihan, anda hanya mendapat maklumat. Apabila anda belajar, dan kemudiannya diikuti dengan latihan maka anda akan dapat maklumat dan pengalaman. Melalui pengalaman akan mengukuhkan lagi apa yang anda pelajari. Ia akan masuk ke ingatan jangka panjang.
Belajar dengan maklum balas. Maklum balas penting dalam aktiviti belajar. Kita tidak boleh memberi komen tentang diri kita sendiri tetapi rakan kita boleh. Anda boleh semak dengan rakan anda minta dia komen apa yang anda sebut itu betul atau tidak. Komen sama ada positif atau negatif, kedua-duanya boleh membantu anda.
Belajar dengan kefahaman. Bagaimana anda tahu yang anda sudah faham apa yang anda pelajari? Anda masih tidak faham sekiranya anda tidak dapat menerangkannya kepada orang lain. Anda masih lagi tidak faham jika anda tidak dapat menyelesaikan latihan berkaitan topik itu. Ingat, anda hanya faham apabila anda dapat menerangkannya, menyelesaikan latihan dan mampu meringkaskan ayat yang mudah.
Satu lagi tips tambahan, cuba baca objektif pembelajaran yang ada dalam buku teks anda, sebelum anda pelajari bab tersebut. Setiap objektif yang ditulis adalah merupakan point-point penting yang wajib anda dalami dan tidak boleh tinggal. Selamat berusaha... anda pasti berjaya!
Khamis, 19 November 2020
PERLUKAH TEMPAT BELAJAR YANG SESUAI BAGI PEMBELAJARAN DI RUMAH?
Assalamualaikum dan Salam B Wangsa buat anak-anak pelajar
Sesi persekolahan 2020 belum lagi tamat. Kita masih lagi meneruskan sesi pembelajaran biarpun di rumah. Namun persoalannya, di mana tempat anda patut belajar? Di mana tempat yang bukan untuk belajar dan apakah ciri-ciri tempat belajar yang baik? Hal ini akan ummi huraikan di ruangan ini kali ini.
Menyediakan tempat belajar. Sememangnya cabaran utama sebelum belajar adalah mencari tempat belajar. Lokasi itu perlu bebas daripada sebarang gangguan bunyi, manusia dan lain-lain (berkait dengan apa yang ummi telah kongsikan tentang meningkatkan tumpuan) Tempat belajar yang tidak sesuai akan merugikan anda kerana ianya membuang masa dan tenaga anda.
Tempat belajar sebaik-baiknya tempat yang anda sediakan untuk belajar. Anda tidak perlu untuk sediakan peralatan yang mahal-mahal untuk dijadikan tempat belajar. Memadai dengan persediaan untuk anda belajar dengan selesa dan tiada gangguan.
Belajar di atas katil atau tilam sangat tidak sesuai. Katil atau tilam adalah tempat untuk berehat dan tidur. Bukan tempat belajar. Sama ada baring, meniarap, duduk dan sebagainya, semuanya akan menyakitkan badan. Anda juga akan memberi reaksi kepada otak anda yang tuannya nak rehat bukannya nak belajar. Jadi, bila belajar di tempat tidur secara automatik anda akan tertidur hanya selepas beberapa minit belajar.
Ruang tamu bukan tempat untuk belajar. Biasanya, di situ ada tv, radio dan sebagainya. jika anda belajar di ruang tamu, anda mungkin boleh bertahan selama sepuluh minit sahaja. Anda mungkin akan memasang tv dan sesi pembelajaran anda akan terhenti tanpa anda sedari.
Jangan belajar di meja dapur. Meja dapur adalah tempat menjamu selera. Dapur adalah tempat yang penuh dengan makanan dan bau yang menjejaskan tumpuan belajar. Anda juga nanti akan terganggu dengan bunyi bising dan pergerakan ibu yang bekerja di dapur. Ini akan menjejaskan kualiti belajar.
Tempat belajar perlu selesa. Anda boleh sahaja sediakan meja jepun (meja lipat ada yang panggil meja abc) untuk belajar. Sebab itu ummi kata tak perlu berbelanja mahal untuk sediakan tempat belajar. yang penting ianya selesa. Jika anda bimbang punggung anda kebas, anda boleh cari bantal nipis untuk lapik duduk anda. Dah cukup selesa bukan 😉
Tempat belajar yang baik juga mempunyai faktor-faktor lain seperti cahaya yang sesuai dan peralatan alatulis yang mencukupi. Jangan belajar di tempat yang agak tertutup kerana tempat sebegini biasanya panas dan udaranya tidak baik untuk pernafasan. Veveionah Mosibin, pelajar UMS sediakan tempat belajarnya di atas pokok untuk dapatkan capaian internet yang baik. Terpulanglah atas daya usaha anda sendiri untuk sediakan tempat belajar yang selesa dan terbaik buat anda.
Ingat, Kalau hendak belajar jangan bermain. Kalau hendak bermain, jangan main-main - Suretac.
Selamat belajar. Semoga anda sukses hendaknya.



