Ahad, 22 November 2020

BELAJAR SECARA BIJAK

 {Seseorang yang tidak belajar dengan betul, tidak ada bezanya dengan orang yang tidak boleh membaca} - Mark Twain


Assalamualaikum dan Salam B Wangsa buat semua..... 😀

    Apa khabar anda hari ini? Umi teruskan suntikan semangat pagi ini dengan tips belajar secara bijak. Ada orang sukar untuk memulakan sesi belajar. Ada juga yang tidak tahu apa yang dia baca. Bagaiamana anda tahu anda sudah faham apa yang anda baca?

    Ada lima faktor yang menggalakkan anda belajar secara bijak. Faktor-faktor itu ialah kehendak belajar, keperluan untuk belajar, belajar dengan membuat latihan, belajar daripada maklum balas dan belajar dengan kefahaman.

    Kehendak belajarPepatah ada menyebut “anda boleh tarik kuda ke tepi sungai, tetapi kamu tidak boleh paksa kuda minum air”. Tidak ada sesiapa yang boleh paksa anda belajar tatkala anda enggan melakukannya. Anda perlu ada dorongan dalam diri anda sendiri untuk anda belajar dengan bijak dan penuh tekun. Jangan bertangguh apabila sampai waktu untuk belajar. Jangan ikut kata hati untuk buat kerja-kerja lain seperti semak notification fb, layan ig, mesej kawan atau tidur sebentar sebelum anda mula belajar. Ini semua boleh menghalang anda belajar. Sepatutnya bila tiba waktu belajar, duduk dan belajarlah!

    Keperluan untuk belajar. Sekiranya anda tidak ada keperluan sendiri untuk belajar, anda kena ingat yang dalam hidup ini anda tetap perlu belajar. Anda perlu ingat, tugas pelajar adalah belajar. Anda perlu belajar mengulangkaji setiap topik anda anda pelajari. Suka atau tidak, anda tetap perlu belajar.

    Belajar dengan membuat latihan. Jika anda belajar tanpa membuat latihan, anda hanya mendapat maklumat. Apabila anda belajar, dan kemudiannya diikuti dengan latihan maka anda akan dapat maklumat dan pengalaman. Melalui pengalaman akan mengukuhkan lagi apa yang anda pelajari. Ia akan masuk ke ingatan jangka panjang.

    Belajar dengan maklum balas. Maklum balas penting dalam aktiviti belajar. Kita tidak boleh memberi komen tentang diri kita sendiri tetapi rakan kita boleh. Anda boleh semak dengan rakan anda minta dia komen apa yang anda sebut itu betul atau tidak. Komen sama ada positif atau negatif, kedua-duanya boleh membantu anda.

    Belajar dengan kefahaman. Bagaimana anda tahu yang anda sudah faham apa yang anda pelajari? Anda masih tidak faham sekiranya anda tidak dapat menerangkannya kepada orang lain. Anda masih lagi tidak faham jika anda tidak dapat menyelesaikan latihan berkaitan topik itu. Ingat, anda hanya faham apabila anda dapat menerangkannya, menyelesaikan latihan dan mampu meringkaskan ayat yang mudah.

    Satu lagi tips tambahan, cuba baca objektif pembelajaran yang ada dalam buku teks anda, sebelum anda pelajari bab tersebut. Setiap objektif yang ditulis adalah merupakan point-point penting yang wajib anda dalami dan tidak boleh tinggal. Selamat berusaha... anda pasti berjaya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan