Khamis, 19 November 2020

PERLUKAH TEMPAT BELAJAR YANG SESUAI BAGI PEMBELAJARAN DI RUMAH?

 Assalamualaikum dan Salam B Wangsa buat anak-anak pelajar

    Sesi persekolahan 2020 belum lagi tamat. Kita masih lagi meneruskan sesi pembelajaran biarpun di rumah. Namun persoalannya, di mana tempat anda patut belajar? Di mana tempat yang bukan untuk belajar dan apakah ciri-ciri tempat belajar yang baik? Hal ini akan ummi huraikan di ruangan ini kali ini. 

    Menyediakan tempat belajar. Sememangnya cabaran utama sebelum belajar adalah mencari tempat belajar. Lokasi itu perlu bebas daripada sebarang gangguan bunyi, manusia dan lain-lain (berkait dengan apa yang ummi telah kongsikan tentang meningkatkan tumpuan) Tempat belajar yang tidak sesuai akan merugikan anda kerana ianya membuang masa dan tenaga anda.

    Tempat belajar sebaik-baiknya tempat yang anda sediakan untuk belajar. Anda tidak perlu untuk sediakan peralatan yang mahal-mahal untuk dijadikan tempat belajar. Memadai dengan persediaan untuk anda belajar dengan selesa dan tiada gangguan. 

    Belajar di atas katil atau tilam sangat tidak sesuai. Katil atau tilam adalah tempat untuk berehat dan tidur. Bukan tempat belajar. Sama ada baring, meniarap, duduk dan sebagainya, semuanya akan menyakitkan badan. Anda juga akan memberi reaksi kepada otak anda yang tuannya nak rehat bukannya nak belajar. Jadi, bila belajar di tempat tidur secara automatik anda akan tertidur hanya selepas beberapa minit belajar.

    Ruang tamu bukan tempat untuk belajar. Biasanya, di situ ada tv, radio dan sebagainya. jika anda belajar di ruang tamu, anda mungkin boleh bertahan selama sepuluh minit sahaja. Anda mungkin akan memasang tv dan sesi pembelajaran anda akan terhenti tanpa anda sedari.

    Jangan belajar di meja dapur. Meja dapur adalah tempat menjamu selera. Dapur adalah tempat yang penuh dengan makanan dan bau yang menjejaskan tumpuan belajar. Anda juga nanti akan terganggu dengan bunyi bising dan pergerakan ibu yang bekerja di dapur. Ini akan menjejaskan kualiti belajar.

    Tempat belajar perlu selesa. Anda boleh sahaja sediakan meja jepun (meja lipat ada yang panggil meja abc) untuk belajar. Sebab itu ummi kata tak perlu berbelanja mahal untuk sediakan tempat belajar. yang penting ianya selesa. Jika anda bimbang punggung anda kebas, anda boleh cari bantal nipis untuk lapik duduk anda. Dah cukup selesa bukan 😉

Jika tak mampu anda tak perlulah berbelanja mahal untuk sediakan tempat belajar.

    Tempat belajar yang baik juga mempunyai faktor-faktor lain seperti cahaya yang sesuai dan peralatan alatulis yang mencukupi. Jangan belajar di tempat yang agak tertutup kerana tempat sebegini biasanya panas dan udaranya tidak baik untuk pernafasan. Veveionah Mosibin, pelajar UMS sediakan tempat belajarnya di atas pokok untuk dapatkan capaian internet yang baik. Terpulanglah atas daya usaha anda sendiri untuk sediakan tempat belajar yang selesa dan terbaik buat anda. 

    Ingat, Kalau hendak belajar jangan bermain. Kalau hendak bermain, jangan main-main  - Suretac.

    Selamat belajar. Semoga anda sukses hendaknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan