Isnin, 14 Disember 2020

HENDAK SERIBU DAYA, TAK HENDAK SERIBU DALIH

 Assalamualaikum dan Salam Ceria untuk semua...

Motivasi kita hari ini; Hendak seribu daya, Tak hendak seribu dalih. Sememangnya manusia sangat hebat dalam mencipta alasan. Tak 'hadir' kelas, tak buat kerja sekolah, tak hantar tugasan yang cikgu berikan ikut masa yang ditetapkan, semuanya ada bermacam-macam alasan.

Alasan dan sebab adalah dua perkara yang berbeza. Alasan diberikan untuk mengelak dan tiada asas manakala sebab diberikan kerana kita tidak punya pilihan. Contoh alasan; saya tak buat latihan yang cikgu berikan kerana saya tiada masa. Contoh sebab; saya tak buat latihan yang cikgu berikan kerana saya cirit birit.

George Washington, Presiden Amerika Syarikat yang pertama ada menyebut; "it is better to offer no excuse than a bad one". Maksudnya, lebih baik diam daripada memberikan alasan yang buruk.

Berhentilah menipu diri sendiri. Usahakanlah keluar dari zon selesa. Cuba ambil tanggungjawab terhadap diri sendiri. Belajarlah dari kesilapan. Kejayaan bukanlah apa yang anda suka atau tidak suka, tetapi kejayaan adalah tentang prinsip dan ketaatan. Apa prinsip anda untuk menggapai kejayaan dan sejauh mana anda taat dengan masa dan usaha yang anda lakukan untuk mencipta kejayaan. 

Jika anda mempunyai kemahuan untuk mendapatkan sesuatu, anda akan mencari pelbagai cara untuk mendapatkannya. Kejayaan datangnya dari keinginan yang membara, sikap positif, usaha yang hebat, dan sumbang khidmat daripada bantuan orang lain. 

Ingatlah yang kita manusia boleh berubah dan kita seharusnya berubah menjadi lebih baik dari semalam kerana kita sememangnya dilahirnya untuk berjaya bukan untuk gagal. Bangkitlah! Dunia sedang bergerak mara ke depan jangan kita yang tertinggal di belakang.

Semoga anda ceria dan berjaya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan