Ahad, 13 Disember 2020

SELALU NAMPAK SUKAR SEHINGGALAH IA BERJAYA DILAKUKAN


 Assalamualaikum dan Salam Ceria untuk semua...

Apa khabar anak-anak pelajar hari ini? Minggu ini adalah merupakan minggu terakhir persekolahan untuk sesi 2020. Sememangnya sesi persekolahan tahun 2020 ini sangat mencabar. Allah menguji kita dengan sedikit ujian menghadapi pandemik Covid-19. Pandemik ini sedikit sebanyak telah membuatkan sesi pengajaran dan pembelajaran kita di sekolah tidak dapat dilaksanakan dengan lancar. 

Hari ini, ummi petik kata-kata Nelson Mandela, Presiden Afrika Selatan; It seem impossible until it's done! Maksudnya, masalah yang pada mulanya nampak sukar untuk diatasi tetapi setelah berjaya ia nampak macam mudah. Siapa pernah melalui situasi seperti ini? Ummi rasa ramai yang pernah melaluinya dan ramai juga yang kecundang di tengah jalan.

Kita manusia biasanya suka dengan zon selesa. Apabila mengalami sedikit kesukaran kita agak sukar untuk keluar dari zon jika kita sudah selesa dengan keadaan sebelum itu. Jadi, bila dugaan datang kita tidak mampu mengatasinya dan lebih buruk lagi kalau kita mengalami tekanan perasaan atau depresi.

Kita hanya akan belajar apabila kita keluar dari zon selesa kita akan mencuba untuk melakukan norma baharu. 

Jika anda ada masalah, apa yang perlu anda lakukan?

  1. Kekal tenang dan cuba kawal perasaan. Tanamkan dalam fikiran bahawa aku mampu mengatasinya.
  2. Jangan lari dari masalah. Ambil tanggungjawab yang anda perlu selesaikan masalah tersebut. Lari dari masalah tidak akan membuatkan kita tenang dan masalh itu akan berulang.
  3. Tulis masalah tersebut dengan jelas di atas kertas, diari atau buku. Pecahkan masalah tersebut kepada beberapa bahagian jika masalah terlalu besar.
  4. Anggap masalah tersebut sebagai ruang untuk meningkatkan keupayaan dan sebagai cabaran kepada diri sendiri. Yakin bahawa anda mampu untuk mengatasinya.
  5. Minta bantuan rakan, keluarga atau guru. Anda sebenarnya tidak keseorangan.  InsyaAllah mereka akan membantu.

Ujian diberikan Allah SWT kepada kita hanya untuk mengetahui siapa yang ikhlas, bersabar dan siapa pula berbohong dan selalu berkeluh kesah. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’ sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.’”                                                                                 

(Surah al-An-kabut, ayat 2-3)

Semoga anda berjaya mengatasi ujian dengan yakin dan sabar👌😉 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan