Rabu, 9 Disember 2020

JANGAN SEKALI-KALI BERPUTUS ASA

 Assalamualaikum dan Salam Ceria untuk semua….

Apa khabar anda pagi ini? Semoga pagi ini anda lebih bersemangat daripada semalam. Bagi yang rasa tidak bersemangat, yang ada rasa putus asa, anda perlu bangkit. Jangan biarkan rasa itu menghantui dan membelengu akal fikiran anda. Anda ada pilihan! Pilihan anda untuk jadi lebih baik dari semalam.



Boleh amal tips ini bagi mereka yang mahu memancarkan semula senyuman di wajah dan hidup lebih ceria:


1. Berhenti beri tekanan pada diri sendiri

Kita meletakkan banyak tekanan pada diri sendiri. Walaupun bagus untuk bercita-cita tinggi, kadang-kadang ada masanya, anda perlu duduk, muhasabah diri, cermin semula diri dan kenal pasti semua perkara baik yang anda lakukan sekarang.

Oleh itu, apabila berasa kecewa, cubalah:

  • Fikirkan perkara-perkara dalam kehidupan yang membuatkan kita bersyukur. Fokus pada apa yang kita ada, bukan apa yang kita tidak lakukan atau tiada.
  • Berhenti memberi begitu banyak tekanan pada diri anda. Bersemangat dengan siapa diri kita sekarang pada masa ini. Dan ingat, kebahagiaan adalah pilihan.

2. Bangun dan bergerak

Salah satu cara terbaik untuk bagi berhadapan hari yang sukar adalah dengan bangun daripada duduk terperuk di satu-satu tempat. Lakukanlah pergerakan. Senaman adalah cara yang terbaik boleh mengubah mood anda.

Anda boleh keluar dan berjalan kaki, menunggang basikal di sekitar kawasan perumahan anda. Pergi ke gim atau ke studio zumba. Jangan hanya duduk terperuk berkubang di atas katil kerana sesungguhnya anda telah menyeksa fizikal dan batin anda sendiri. Bangun dan bergeraklah supaya anda dapat ‘angin’ baharu.


3. Dekatkan diri anda dengan orang yang anda suka

Keluarga dan kawan-kawan boleh menjadi ubat terbaik apabila anda ‘down’. Walaupun tidak dapat melihat mereka secara langsung, angkat telefon dan hubungilah orang yang anda sayangi. Kadang-kadang apa yang kita perlukan adalah kawan untuk mendengar dan membantu mengeluarkan perkara menyempitkan dada kita. Ingat, belon akan jadi kembang dan terus mengembang jika terlalu banyak angin yang diisi. Anda perlu lepaskan angina tersebut keluar, agar ‘belon’ itu tidak meletup.


4. Cuba bergelak tawa

Kita kadang-kadang terlalu serius. Tapi mari letakkan perspektif ini: bagaimana perasaan sewaktu saat kecil dahulu. Selalunya banyak perkara gembira dialami dalam hidup ketika itu. Bukankah hidup ibarat roda. Takkanlah sepanjang masa kita bersedih. Justeru ingatilah saat gembira itu bagi menghilangkan lelah buat seketika.

Ketahuilah bahawa kesedihan adalah sementara, manakala ia adalah pilihan sendiri. Barangkali pilih untuk ketawa dengan dengan menonton video lucu, filem, atau video kegemaran anda secara dalam talian.


5. Makan sesuatu yang sihat

Mengambil makanan ringan yang sihat dapat membantu anda berasa lebih baik dan mengisi badan anda dengan nutrien yang betul. Makanlah makanan sihat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, kacang, dan biji.

 

6. Sedut nafas dalam-dalam

Memfokuskan pada pernafasan mungkin dapat membantu anda daripada berfikir yang tidak-tidak.

Menurut artikel bertajuk Teknik Pernafasan, MyHealth, pernafasan kita akan menjadi cepat tanpa kawalan ketika kita stress. Dengan mengamalkan teknik pernafasan yang betul, kita boleh menjadi lebih tenang ketika berhadapan dengan situasi yang tegang. Ia dapat meningkatkan pertukaran antara oksigen dan karbon dioksida, meningkatkan peredaran darah dan mengurangkan ketegangan.

Latihan teknik pernafasan dapat dilakukan dengan memilih satu keadaan yang tiada gangguan dan selesa.

  • Tarik nafas perlahan-lahan (4 saat)
  • Tahan nafas (4 saat)
  • Lepaskan nafas perlahan-lahan (4 saat)
  • Terapkan perasaan lega setiap hembusan nafas keluar.
  • Ulangi langkah-langkah tersebut sehingga anda merasa tenang dan relaks.
  • InsyaAllah anda pasti akan rasa lega .

 

7. Luangkan masa dengan haiwan

Menurut artikel Wan Zahari, Mohd Hamim dan Abdul Rahman dari Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), dan Fakulti Perubatan, Universiti Institut Teknologi MARA (UITM), Shah Alam, terdapat hubungan antara manusia dan haiwan. Ia dinyatakan dalam tulisan mereka yang bertajuk Hubungan Manusia Dengan Haiwan Dalam Warisan Perubatan dan Kepentingan Haiwan Dalam Aspek Pemakanan dan Kesihatan Manusia. Dapatan artikel mereka menyebut, haiwan peliharaan terapeutik dan mereka pintar. Mereka dapat merasakan apabila seseorang sedih. Walaupun anda tidak mempunyai seekor kucing, ikan atau haiwan peliharaan lain, anda mungkin boleh cuba beri makanan kepada kucing jalanan yang anda jumpa. Jadi, apa kata anda cuba luangkan masa anda bersama haiwan. Mana tahu mengurangkan tekanan anda.


8. Lakukan sesuatu yang anda suka dan menarik (hobi)

Salah satu cara terbaik untuk membebaskan fikiran tentang perkara negatif adalah melakukan perkara yang anda suka. Buat beberapa perkara gembira dalam hidup anda. Jika gemar melukis atau berkebun, mengemas, mencuba origami dan sesuatu yang anda rasa mahu buat, tetapi tidak pernah mencuba, apa kata kali ini cuba lakukannya. Mana tahu dapat menghilangkan rasa ‘down’ anda itu.


9. Baca sesuatu yang inspiratif

Sebenarnya walaupun dengan sepatah ayat yang anda bacapun kadang-kadang ia boleh mencetuskan  kuasa untuk menyembuhkan dan mengurangkan rasa ‘down’ itu. Cubalah membuat carian di internet dan cari petikan inspirasi yang boleh memotivasikan anda. Tonton ucapan dari tokoh terkenal dan inspirasi yang anda kagumi. Atau baca buku-buku motivasi atau inspiratif.


10. Selesaikan semua perkara yang patut

Antara cara mudah untuk mengubah fikiran negatif apabila anda mengalami hari yang buruk adalah dengan melakukan kerja. Sama ada kerja rumah, atau kerja pada projek yang anda sukai, dapatkan kerja yang dilakukan akan membantu anda merasa produktif dan membebaskan minda anda.

Sebagai orang Islam pula, ‘kerja’ yang patut anda lakukan adalah menunaikan kewajipan dengan mengingati-NYA. Adakah anda sudah melakukan suruhannya ketika ini? Belum solat? Maka tunaikanlah!

 

Jangan sekali-kali berputus asa. La takhofu wala tahzan, innallaha ma'anaa...jangan takut dan jangan berdukacita sesungguhnya Allah bersama-sama kita. Semoga anda jalani hari-hari yang mendatang dengan lebih ceria dan bermakna. Wassalam. 😊

Tiada ulasan:

Catat Ulasan