Khamis, 2 April 2020

7 langkah penjagaan diri di rumah yang patut anda buat bagi mengelakkan stress.


Mungkin ketika kali pertama PKP diumumkan, bermula 18 hingga 31 Mac 2020, anda masih tidak berasa tekanan. 2 minggu sahaja perlu membataskan pergerakan. Tetapi apabila perintah itu dilanjutkan sehingga 14 April 2020, pastinya ada di antara anda mula berasa tertekan. Semuanya mula menjadi serba tidak kena. Lebih-lebih lagi jika anda duduk berseorangan. Hari-hari tengok drama dan filem di televisyen pun boleh tambah stress!

Jadi bagaimana untuk mengatasi keadaan ini? Jangan risau sudah tentu ada cara dan langkah penjagaan diri yang boleh dilakukan.


Langkah penjagaan diri di rumah

Tekanan dan kegelisahan berdepan tempoh perintah kawalan bersama berita-berita berkaitan kes Covid-19 pastinya tidak boleh dielakkan. Namun, ia tidak bermakna anda harus membiarkan diri terus dilanda tekanan mental.

Berikut 7 langkah penjagaan diri di rumah yang perlu anda lakukan bagi mengelakkan diri terus mengalami tekanan dan kegelisahan.

1. Dapatkan maklumat sahih

Dengan kemudahan dan kemajuan teknologi, kita boleh mendapat pelbagai maklumat dengan cepat dan mudah. Segalanya di hujung jari, bukan? Tetapi dalam masa yang sama, kemajuan ini juga boleh menyebabkan kebanjiran maklumat yang adakalanya tidak sahih sama sekali. Kesannya, apabila anda terbaca info yang tidak tepat, ia cenderung menyebabkan anda lebih tertekan dan mengalami kegelisahan malahan mungkin ketakutan. Jadi, bagi mengelakkan sebarang masalah yang  tidak diingini, namun dalam masa yang sama ingin terus up to date dengan isu Covid-19, pastikan anda mendapatkan maklumat daripada sumber sahih seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).


2. Bataskan maklumat tentang Covid-19

Tiada salah untuk kekal up to date. Tetapi anda dinasihatkan untuk membataskan jumlah pendedahan liputan media yang anda baca. Memantau secara berterusan sebarang kes dan berita di media tentang Covid-19 akan meningkatkan rasa bimbang dan tertekan dalam diri. Ada masanya anda perlu rehatkan diri. Wujudkan sempadan berapa banyak berita perlu anda baca, tonton atau dengar setiap hari bagi membolehkan anda untuk menumpukan perhatian kepada kehidupan dan mempunyai kawalan terhadap diri. WHO mencadangkan untuk mendapatkan maklumat sahih bagi mempersiapkan dan mengambil langkah praktikal untuk melindungi diri dan keluarga anda.


3. Penjagaan diri

Langkah penjagaan diri di rumah seterusnya paling utama sepanjang tempoh perintah kawalan untuk menjaga diri sendiri. Ia termasuklah dengan memfokuskan kepada perkara yang boleh anda kawal seperti penjagaan kebersihan diri. Selagi boleh, kekalkan tabiat rutin penjagaan diri dan aktiviti normal seperti pengambilan makanan berkhasiat, dapatkan tidur secukupnya dan lakukan perkara yang anda gemari, contohnya berkaraoke di rumah. Cuba lihat tempoh perintah kawalan ini dari sudut positif. Jika selama ini anda tidak mendapat tidur yang mencukupi, kini ia adalah masa untuk anda tidur malam 8 hingga 9 jam tanpa gangguan.


4. Terus berhubung

Dalam masa tertentu, bersendirian perkara yang menyeronokkan. Bebas melakukan apa sahaja mengikut kemahuan diri. Bagaimanapun, untuk jangka masa panjang seperti tempoh perintah kawalan ini mungkin sedikit sebanyak anda akan mengalami tekanan.Berjauhan bukan bermakna anda terputus hubungan, bukan? Anda boleh terus berhubung dengan ahli keluarga mahupun rakan melalui media sosial, panggilan telefon atau panggilan video. Menerima sokongan dan keprihatinan daripada individu lain boleh membantu menyeimbangkan dan memberikan kestabilan serta keselesaan pada diri. Tempoh perintah kawalan yang diumumkan kerajaan satu perkara bersifat sementara. Jika setiap individu melakukan tanggungjawab dengan mematuhi saranan untuk duduk di rumah, pastinya penularan wabak Covid-19 dapat dibendung. #StayAtHome

5. Kekal pemikiran dan harapan positif

Tidak dinafikan semakin hari, peningkatan kes semakin meningkat. Tetapi cuba untuk fokus mengenai sesuatu yang positif. Jika selama ini anda sukar meluangkan masa bersama keluarga, maka ini kesempatan buat anda bersama keluarga dan anak-anak. Jadi gunakanlah sebaiknya tempoh masa ini. Ia satu langkah penjagaan diri di rumah yang amat kita perlukan sekarang. Untuk kekal positif, berdoalah agar keadaan yang dialami seluruh dunia ini akan pulih.

6. Terima emosi dan perasaan

Sekiranya anda berdepan emosi bercampur baur, tertekan, gelisah, bimbang atau kecewa, percayalah ia adalah normal, terutamanya dalam situasi sekarang. Jadi apa yang boleh anda lakukan seandainya berdepan keadaan ini, biarkan diri anda untuk menerimanya dan meluahkan apa yang dirasai. Anda boleh luahkan kepada rakan baik, menulis di dalam jurnal atau melepaskannya melalui sesuatu yang kreatif seperti lukisan. Paling penting, jangan pendamkannya.

7. Berehat

Langkah penjagaan diri di rumah yang boleh anda cuba ialah untuk berehat. Tenangkan minda dan emosi anda. Kurangkan masa menghadap skrin, cuba lakukan yoga atau sebarang aktiviti yang boleh anda lakukan di rumah. Anda mungkin boleh bermain puzzles, membaca buku, melukis atau belajar bahasa baru secara atas talian. Sekiranya anda masih perlu melakukan tugasan kerja di rumah ketika tempoh perintah kawalan ini, pastikan anda memberikan diri rehat 5 minit setiap jam. Buatlah air minuman atau sekadar lelapkan mata. Ini boleh mengurangkan tekanan pada mata. Dapatkan bantuan Diharapkan perkongsian tip dan langkah penjagaan diri di rumah akan dapat memberikan ketenangan kepada anda dalam mengharungi tempoh perintah kawalan ini. Seandainya anda berasa terlalu tertekan, hubungi doktor atau profesional untuk mendapat nasihat dan sokongan. Jangan biarkan diri anda mengharunginya sendiri kerana keadaan yang kita lalui sekarang adalah satu situasi luar biasa untuk semua individu.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan